Ad

Thursday, 11 August 2016

Terjunan perak

11 Ogos 2016 12:17 AM
RIO DE JANEIRO 10 Ogos - Kem sukan terjun negara memperbaiki pencapaian mereka dalam sejarah Olimpik apabila memenangi pingat perak menerusi acara 10 meter platform seirama yang juga pingat pertama kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik Rio 2016, petang semalam (waktu tempatan).
Pingat yang dinanti-nantikan itu disumbangkan oleh pasangan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang mempamerkan aksi membanggakan dalam lima terjunan untuk mengumpul 344.34 mata dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Maria Lenk, Barra di sini.
Pingat perak itu diperoleh genap empat tahun selepas Pandelela memenangi pingat gangsa acara 10m platform individu dalam Sukan Olimpik London 2012, yang merupakan satu-satunya pingat diperoleh Malaysia mnenerusi acara akuatik sebelum ini.
Lebih menarik, Pandelela dan Jun Hoong baru sahaja digandingkan dengan Olimpik Rio menjadi pentas penampilan ketiga mereka sebagai pasangan.
Keserasian mereka terserlah apabila mempamerkan aksi konsisten dalam kelima-lima terjunan, malah mengutip mata tertinggi dalam terjunan keempat iaitu 79.68 mata, mengatasi pemenang pingat emas dari China, Chen Roulin dan Liu Huixia.
Kemenangan itu melayakkan mereka menerima ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) RM300,000 yang dibahagi dua serta imbuhan pencen RM3,000 sebulan setiap seorang.
Mengulas kemenangan itu Pandelela, yang bakal memburu satu lagi pingat iaitu dalam disiplin 10m platform individu bermula 17 Ogos ini, berkata antara rahsia kejayaan mereka ialah fokus yang tinggi sehinggakan sesi latihan dianggap seperti pertandingan sebenar.
“Apabila menyertai pertandingan sebenar, kami tidak tertekan dan gementar malah perasaannya sama seperti sesi latihan pula.
“Secara peribadi saya amat gembira kerana berjaya meraih pingat Olimpik kedua selepas London 2012 dan kali ini warnanya lebih baik,” katanya selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
Roulin-Huixa ternyata unggul apabila mengumpul 354.00 mata untuk menang emas manakala gangsa milik duo Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Filion (336.18 mata).
Dalam pada itu, Pandelela berkata, dia dan Jun Hoong langsung tidak melihat papan markah ketika turun ke kedudukan ketiga selepas terjunan ketiga.
Dia yang tidak kisah dengan kedudukan yang dirampas pasangan Korea Utara, Kim Kuk Hyang dan Kim Mi Rae sebaliknya berkata: “Kami memberikan tumpuan kepada terjunan dan apa yang perlu dibuat.
“Walaupun markah dipaparkan di seberang platform, kami tidak melihat kedudukan kami,” katanya.
Sementara itu, Jun Hoong membuktikan kekuatan mentalnya dengan bangkit semula walaupun sehari sebelum itu dia melakukan kesilapan ketika berpasangan dengan Nur Dhabitah Sabri sehingga terlepas untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal dan berakhir dengan berkedudukan kelima dari tempat ketiga.
Katanya, walaupun kecewa dengan kegagalan itu, dia segera bangkit dengan azam baharu untuk memberikan aksi terbaik bersama Pandelela.
“Kejayaan ini adalah hasil dorongan dan sokongan daripada keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan, terima kasih buat mereka semua,” katanya. – UTUSAN

- Sumbert: http://www.utusan.com.my/sukan/terjunan-perak-1.368843#sthash.UDgdtCzc.dpuf

No comments:

Post a Comment