Ad

Saturday 20 August 2016

Kejayaan atlet negara wakili semua rakyat

21 Ogos 2016 12:18 AM
SABAK BERNAM 20 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Selangor menyelar mana-mana pihak termasuk pemimpin politik supaya tidak mengaitkan kejayaan atlit negara dalam Sukan Olimpik sebagai satu kejayaan yang mewa­kili satu-satu kaum semata-mata.

Noh Omar
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, semua pihak tidak kira agama, bangsa, keturunan dan kaum tidak sepatutnya menyempitkan pemikiran masing-masing dengan sentimen sedemikian tetapi harus berbangga dengan pencapaian yang diperoleh para atlit negara sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
“Kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para atlit negara termasuk kejayaan yang mereka peroleh dalam sukan itu adalah kejayaan kita bagi semua rakyat Malaysia... bukan kejayaan Cina, Melayu, India dan sebagainya.
“Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan itulah keunikan kita. Dalam Sukan Olimpik acara basikal Melayu menang, badminton Cina menang dan renang Bumiputera Sarawak menang... itu semua bukan kejayaan berdasarkan kaum tertentu, tetapi berdasarkan ko­mitmen serta kesungguhan me­reka untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Kita patut ambil kepelbagaian kaum dalam negara kita ini sebagai satu kekuatan untuk menjulang nama negara dalam sukan di peringkat antarabangsa. Jadi, tidak kiralah sesiapa pun yang menang, yang penting mereka rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam, di sini hari ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran daripada DAP, Ronnie Liu yang didakwa membuat komen menerusi akaun Facebooknya, Ronnie Liu Tian Khiew semalam yang berbunyi ‘Tak kira Malaysia atau China menang... Cina tetap menang. Bukan?’ yang dipercayai merujuk perlawanan badminton di antara Malaysia menentang China dalam Sukan Olimpik.
Sementara itu, Ronnie ketika dihubungi mengakui membuat komen berkenaan menerusi aka­un Facebooknya itu sema­lam.
Bagaimanapun, beliau menafikan bersikap chauvinis di sebalik komennya itu tetapi ia merupakan sindiran kepada pihak-pihak tertentu yang mentafsirkan singkatan nama pemain badminton perseorangan negara, DLCW (Datuk Lee Chong Wei) itu sebagai ‘Do Let Cina Win’ (Berikan Cina Menang) dan ‘Dont Let China Win’ (Jangan biarkan China Menang) yang disebarkan menerusi media sosial ketika ini.
“Saya tidak ada niat untuk mengaitkan kejayaan pasukan badminton negara sebagai kejayaan bagi kaum Cina. Saya membuat komen itu hanya untuk menyindir pihak-pihak yang main-main dengan singkatan DLCW itu,” ujarnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kejayaan-atlet-negara-wakili-semua-rakyat-1.372866#sthash.kDOzklSY.dpuf

No comments:

Post a Comment