17 OGOS 2016
Zaman Jepun penuh ketakutan Arifin dan isteri bangga serta beryukur di atas kemerdekaan negara.
Zaman Jepun penuh ketakutan
KANGAR - Pastikan kesusahan dan keperitan yang lalu tidak berulang lagi di negara kita yang tercinta ini.
Itu pesan Arifin Othman, 76, ketika ditemui di rumahnya di Taman Behor Latih, di sini, kelmarin.
Arifin yang juga pesara tentera berkata, dia bersyukur dengan nikmat merdeka yang dirasai sekarang.
Mengimbau kenangan lalu, Arifin berkata, zaman penjajahan Jepun adalah kenangan pahit buat dirinya.
“Ketika itu saya dan keluarga menetap di Kampung Bukit Papan, Kuala Perlis dan membesar dengan zaman taklukan tentera Jepun, di mana pada ketika itu keluarga saya hidup dalam ketakutan dan tidak bebas melakukan sebarang pekerjaan.
“Seingat saya, ketika saya berumur 13 tahun, saya nampak tentera Jepun paksa seorang penduduk kampung panjat pokok nyoq (kelapa).
“Saya kenal orang kampung tu nama Pak Mat. Tentera Jepun masa tu bawa senapang tapi di hujung senapang ada pisau panjang yang sangat tajam,” katanya.
Cerita Arifin lagi, walaupun Pak Mat kata dia tidak pandai panjat pokok, tentera Jepun tetap paksa dengan menyepak dan menendangnya berkali-kali.
“Masa tu saya takut sangat tapi nak juga tunggu dan lihat apa yang berlaku.
“Akhirnya tentera Jepun paksa Pak Mat panjat dengan meletakkan pisau tajam di bawah punggungnya. Kalau Pak Mat gelongsor, pisau tu akan tertusuk punggungnya.
“Saya pula tak mampu nak tolong tapi syukur Pak Mat boleh ambil buah nyoq macam yang depa nak,” katanya.
Kadang makan, kadang tak makan
Menurut Arifin, ketika zaman pemerintahan Jepun, untuk mendapatkan makanan sangat susah.
“Saya dan keluarga makan nasi sehari sekali sahaja, itu pun kadang makan dan kadang tak makan,” katanya.
Waktu petang dan malam pula mereka makan ubi kayu untuk hilangkan lapar.
Kata Arifin, hidupnya sekeluarga banyak bergantung dengan ubi kayu.
“Kalau makan nasi pun hanya berlaukkan ikan bendang. Dulu mana nak cari ayam daging,” katanya sambil berseloroh.
Tambah Arifin, kesusahan zaman dahulu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya pakai baju koyak dan jalan sekeliling kampung tanpa pakai kasut,” katanya.
Jepun beli jiwa
Arifin berkata, pemerintah Jepun pada ketika itu ada memberi sumbangan beras tiga kilogram setiap bulan untuk menarik hati rakyat.
“Tapi kaedah itu tak cukup untuk beli jiwa penduduk kampung yang terseksa dengan kewujudan depa.
“Zaman tu kalau nak pi mana pun tak boleh. Selain itu, kami tak boleh nak berkumpul beramai-ramai dan juga diharamkan untuk memiliki radio,” katanya.
Tambah Arifin, ketika itu Jepun akan rasa tergugat sekiranya penduduk mendengar maklumat melalui radio kerana bimbang akan diserang penduduk.
Hasil perkongsian hidup Arifin bersama Mahani Rejab, mereka dikurniakan dua anak lelaki yang kini berusia 46 dan 42 tahun.
Selepas merdeka pada 1961, Arifin memasuki tentera dan berkhidmat sehingga 1986.
“Hidup kini lebih mewah... kalau nak tukar baju sehari empat kali pun boleh.
“Senang banyak kalau nak banding dengan zaman dulu, jadi kita harap apa yang kita ada sekarang ni kekal sampai bila-bila,” katanya.
Katanya lagi, dia amat berharap rakyat sekarang lebih mentaati pemerintah yang ada.
“Semua pemerintah mahukan yang terbaik untuk rakyat. Oleh itu, jangan suka-suka buat demonstrasi tanpa memikirkan kesannya.
“Jangan kerana terlalu ikut perasaan, kita bakal hilang keamanan dan ketenteraman yang kita miliki sekarang,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 17 OGOS 2016
No comments:
Post a Comment