MOHAMAD ATHIR ISMAIL | 27
Ogos 2016 5:50 PM
TAPAK di atas bukit Gajah Mati
ini dikatakan terletaknya Kota Lukut dan istana pemerintah Lukut yang hilang.
APABILA bercerita tentang
sejarah kemasyhuran Kesultanan Selangor, pasti sebahagian besar daripada kisah
tersebut menyentuh kehebatan Lukut suatu ketika dahulu.
Menyingkap sejarah awal Lukut
yang bermula awal kurun ke-19, daerah tersebut dibuka oleh kerabat diraja
Selangor, Raja Busu.
Sebelum diletakkan di bawah
daerah Port Dickson selepas nama Sungei Ujong ditukar kepada Negeri Sembilan,
Lukut dibuka kerana potensi hasil buminya yang menjadi tumpuan ramai pelombong
bijih timah.
Dalam catatan jurnal Sejarah
Lukut tulisan Zulkapli Othman dan Mohd Khalid Yasin, Lukut dahulu merupakan
sebahagian daripada wilayah Selangor.
Sewaktu pemerintahan Raja Busu,
Lukut telah menyaksikan sebuah peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila
istananya dibakar akibat rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.
Menurut Ketua Kampung Lukut,
Mohamad Shukor, Kota Lukut adalah tempat pentadbiran berbeza dengan Lukut, namun
kedua-duanya terletak dalam wilayah sama.
“Wilayah yang sama tetapi
sejarahnya berbeza. Lukut dibuka oleh Raja Busu, manakala Kota Lukut pula
diasaskan Raja Jumaat Raja Jaafar.
“Sebagai pembuka wilayah Lukut,
Raja Busu telah membawa masuk ramai pelombong Cina. Tetapi, beliau telah
membuat pelombong Cina marah kerana menaikkan cukai.
“Mungkin kerana kerancakan
industri perlombongan, beliau terdorong untuk menaikkan cukai sebanyak 10
peratus. Namun keputusan tersebut telah menyebabkan kemarahan mereka,” katanya
kepada S2.
Selepas itu, tambah beliau,
keadaan menjadi lebih buruk apabila kemarahan pelombong membuak-buak sehingga
sanggup membuat kacau dan membakar istana Raja Busu.
“Kisah ini boleh dikatakan
seperti rusuhan kaum. Lebih kurang 300 hingga 400 pelombong berarak ke istana
Raja Busu, namun beliau tidak mahu berjumpa dengan mereka malah menyatakan
tidak takut mati.
“Berang dengan tindakan Raja
Busu, mereka telah membakar istananya. Dalam peristiwa itu, Raja Busu bersama
keluarga telah dibunuh. Makam Raja Busu dan keluarganya ada dekat Kampung Kuala
Lukut di Chuah, Negeri Sembilan.
“Pengikut setia yang berang
selepas mendengar peristiwa tersebut telah bertindak membalas dendam terhadap
pelombong sehingga mereka melarikan diri ke Melaka,” ujarnya.
Beberapa tahun selepas peristwa
tersebut, Raja Jumaat yang juga menantu kepada Sultan Selangor ketiga iaitu
Sultan Muhammad telah membuka Kota Lukut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi
serta politik di sana.
Sumber-http://www.utusan.com.my/rencana/lukut-simpan-peristiwa-berdarah-1.375178#sthash.ZOANMIiN.dpuf
No comments:
Post a Comment