18 OGOS 2016
MAT Hassan Munas atau lebih
dikenali sebagai Tok Janggut merupakan seorang ulama dan pahlawan Melayu yang
sanggup menggadai nyawa menentang British.
Pensyarah Kanan Jabatan
Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Hamdan Aziz
berkata Tok Janggut merupakan antara penentang British pada awal 1900-an di
Kelantan, iaitu semasa berlakunya Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.
"Walaupun dia tahu
penentangannya akan berakhir dengan maut, tetapi beliau tetap meneruskannya
untuk menunjukkan kepada orang Melayu lain, yang beliau juga mempunyai sifat
suka menolong orang," kata Hamdan.
Beliau merupakan penyelidik
manuskrip mengenai Tok Janggut pada "Wacana Manuskrip Melayu bertajuk
'Hikayat Peperangan Tok Janggut' anjuran Perpustakaan Negara sempena sambutan
Bulan Kebangsaan 2016, di Kuala Lumpur, hari ini.
Hamdan turut menafikan dakwaan
pihak tertentu bahawa Tok Janggut menentang Sultan Kelantan pada masa itu, dan
berkata sebenarnya beliau menentang British yang mengamalkan sikap orientalis
dengan menguasai pihak Istana.
Hamdan berkata British
mengetahui budaya orang Melayu adalah taat setia kepada Sultan, dan untuk
menguasai orang Melayu ialah melalui mengawal Sultan mereka.
Beliau berkata kajiannya
mengenai pahlawan Tok Janggut itu turut dibuat berdasarkan manuskrip yang
ditulis oleh Ahmad Abdul Rahman dari Patani, Thailand, keratan laporan akhbar
British mengenai pahlawan itu oleh The Straits Times dan pembuktian tempat
sejarah di Pasir Puteh.
"Manuskrip Ahmad itu yang
ditulis dalam era 1950-an, mempunyai catatan yang terperinci mengenai salasilah
Tok Janggut, berapa ramai adik-beradik pahlawan itu dan kehidupannya menentang
British," katanya.
Berdasarkan fakta manuskrip
itu, antara sifat Tok Janggut yang boleh dijadikan pengajaran untuk generasi
kini ialah kesungguhannya menentang kezaliman British, katanya.
Hamdan berkata hasil kajiannya
juga mendapati Tok Janggut bukan sahaja seorang pahlawan malah dia merupakan
seorang ulama yang telah mendalami ilmu agama di pondok, sebelum ke Makkah.
Tok Janggut yang ke Makkah
untuk belajar agama sebelum Perang Dunia Pertama telah didedahkan dengan fatwa
kerajaan Turki Uthmaniyah yang menjadikan satu Fardhu-Ain (perkara wajib) bagi
umat Islam menentang British.
"Dalam peperangan dunia
pertama, Turki, Austria, Bulgaria dan Jerman menentang British bersama
sekutunya," katanya.
"Fahaman itu tertanam
dalam jiwa Tok Janggut apabila dia pulang ke tanah air dan melihat masyarakat
di Pasir Puteh, Kelantan ditekan dengan sistem cukai yang dilaksanakan British
pada ketika itu, yang menjajah Tanah Melayu," katanya.
Hamdan berkata atas sifat benci
kepada British yang 'memegang' Sultan Kelantan Muhammad IV melalui sistem
penasihat dan mengenakan cukai tidak munasabah, Tok Janggut bangkit menentang
bersama 1,000 pengikutnya dan dia terkorban di tangan tentera British pada
1915.
"Mayatnya dibawa ke Kota
Bharu dan digantung terbalik untuk dipamerkan kepada umum sebelum ditanam di
Seberang Sungai, Pasir Pekan," katanya. – Bernama
SUMBER –SINAR HARIAN 18 OGOS
2016
No comments:
Post a Comment