Pada hari ini 21.8.1975,
Persidangan Kedua Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN telah berlangsung di Kuala
Lumpur. Ini adalah kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah kepada persidangan
seumpama ini. Upacara ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul
Razak Hussein. Turut hadir di persidangan ini ialah Speaker Dewan Rakyat
Malaysia, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, wakil-wakil terhormat dan juga
menteri-menteri kabinet. Di dalam ucapannya Tun Abdul Razak yakin bahawa
persidangan itu akan mengeratkan lagi kerjasama di kalangan negara-negara
anggota ASEAN. Kenyataan ini dibuat
berdasarkan kepada pengalaman dan kejayaan yang telah dicapai oleh
pertubuhan-pertubuhan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian ASEAN,
Konfederasi Wartawan ASEAN, Persekutuan Pertubuhan Pemilik-pemilik Kapal ASEAN
dan lain-lain lagi. Persidangan kedua ini adalah dari persidangan pertama yang diadakan di Jakarta Indonesia
pada 8 hingga 11 Januari 1975. Di persidangan pertama ini usul penubuhan
Pertubuhan Antara Parlimen telah diterima dengan tujuan mengukuhkan
persefahaman negara anggota ASEAN bagi mencapai segala matlamat yang telah
dipersetujui dalam deklarasi Bangkok pada bulan Ogos 1967. Persidangan ini
telah berjaya menghasilkan faedah yang besar kepada kelima-lima buah negara
ASEAN. Wakil-wakil Parlimen dari
Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura dapat menyuarakan hasrat
dan kemahuan negara masing-masing dengan lebih berkesan. Malah dengan wujudnya
pertubuhan ini negara anggota ASEAN akan lebih mengetahui perkembangan dan kemajuan
yang dicapai oleh tiap-tiap Parlimen dan dapat memutuskan segala langkah yang
perlu diambil untuk faedah serantau ASEAN.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment