Dipercayai dibina pada zaman
awal Islam
20 Ogos 2016 12:04 AM
SEBUAH tapak masjid yang
dipercayai dibina sejak abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah
ditemukan di Al-Kharj, Arab Saudi. Masjid itu dikatakan yang terbesar di Semenanjung
Arab pada masa itu. AGENSI
RIYADH 19 Ogos - Pakar
arkeologi yang menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sejarah di sekitar
wilayah al-Kharj, tengah Arab Saudi menemukan sebuah masjid purba yang
dipercayai dibina sejak zaman awal Islam.
Arab News melaporkan, masjid
yang terletak di al-Yamamah, dipercayai yang terbesar pada zaman itu dan ketiga
terbesar yang pernah dibina di Semenanjung Arab selepas Masjidilharam dan
Masjid Nabawi.
Masjid tersebut dipercayai
dibina pada abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah.
Projek penggalian di tapak
purba itu dijalankan oleh 18 orang sarjana dan pakar arkeologi dari Arab Saudi
serta Perancis sejak September 2011.
Selain al-Yamamah, misi
penerokaan dan penyelidikan itu turut merangkumi kawasan al-Bina serta lima
lagi tapak penemuan di sepanjang Wadi Nisah.
Lebih menarik, pasukan
penyelidik itu juga berjaya menemukan sebuah tapak lama yang dipercayai wujud
sejak Zaman Batu yang sememangnya dikenali kerana kaya dengan elemen budaya
dan warisan penduduk Saudi.
Antara yang ditemukan termasuk
barangan yang diperbuat daripada tanah liat, objek kaca dan gelang yang
dihasilkan daripada tanah liat pelbagai warna.
Sementara itu, di Ain
al-Dale’a, bahagian barat al-Kharj, beberapa unit kediaman yang dikatakan berusia
sekitar 5,000 tahun telah ditemukan bersama besi serta pedang gangsa berukuran
kira-kira 56 sentimeter panjang.
Penggalian yang dijalankan oleh
kedua-dua buah negara itu dibuat menerusi satu perjanjian antara Suruhanjaya
Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Negara dan rakan sejawatnya di Perancis
pada 21 September 2011.
Menerusi perjanjian itu,
pasukan penyelidik dari Perancis diketuai oleh Dr. Jeremy Chitikat manakala
Arab Saudi pula dipimpin Dr. AbdulAziz Al-Hammad yang juga seorang profesor
arkeologi dan warisan di Universiti Raja Saudi.
Menurut Dr. AbdulAziz, misi itu
dipercayai pertama kali dibuat di Asia Barat dengan penyertaan ramai pakar
serta penyelidik yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik.
Pengerusi Majlis Saudi untuk
Pelancongan dan Warisan Kebangsaan, Putera Sultan bin Salman juga dikatakan
menghargai usaha itu demi melindungi khazanah serta peninggalan sejarah negara
yang tidak ternilai.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masjid-purba-ditemukan-1.372526#sthash.o1Njkhc9.dpuf
No comments:
Post a Comment