NAZIRUL (kanan) bersama Weigang
hadir di Wisma FAM semalam.
Petaling Jaya: Agak menyedihkan
selepas sekian lama dipraktikkan masih ada jurulatih dan pihak pengurusan
pasukan negeri yang tidak tahu mengenai prosedur pemain dipanggil menyertai
skuad kebangsaan.
Kes terbaru membabitkan pemain
Perak Nazirul Naim Che Hashim yang gagal melaporkan diri semalam walaupun
berada dalam senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia
kendalian Datuk Ong Kim Swee kelmarin.
Laporan Arena Metro semalam
sesuatu yang mengejutkan buat jurulatih Perak Karl-Heinz Weigang yang mengakui
tidak mengetahui prosedur pemain dipanggil tetap perlu melaporkan diri walaupun
mengalami kecederaan bagi tujuan pemeriksaan doktor.
Jurulatih kelahiran Jerman itu
mengesahkan hadir di Wisma FAM kelmarin namun tidak dapat bertemu Setiausaha
Agung FAM Hamidin Mohd Amin bagi menyerahkan surat pengesahan kecederaan
dialami Nazirul.
Bagaimanapun beliau sudah
memaklumkan sendiri kepada Kim Swee selepas itu.
“Saya menghubungi jurulatih kebangsaan
(Kim Swee) tapi malangnya, beliau tidak bersetuju dengan saya.
“Beliau menerangkan mengenai
prosedur pasukan kebangsaan. Saya minta maaf kerana tidak tahu prosedur
berkaitan panggilan skuad kebangsaan. Saya juga bertanya kepada PAFA (Persatuan
Bolasepak Perak) mengenai prosedur itu, yang sedihnya mereka juga tidak tahu.
“Jurulatih (Kim Swee)
menegaskan pemain itu perlu datang ke sini. Jadi, saya membawanya dan kami tiba
di sini (Wisma FAM),” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya
semalam.
Ini bukan kali pertama kes
pemain tidak melaporkan diri selepas penjaga gol dari Kelantan Khairul Fahmi
Che Mat pada Januari 2012 dan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT)
Norshahrul Idlan Talaha pada Februari 2014.
Latihan skuad kebangsaan
bermula kelmarin dengan Kim Swee ingin membentuk pasukan semula bagi menghadapi
aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September.
Menurut Kim Swee, mengikut
prosedur, pemain dipanggil yang mengalami kecederaan perlu melaporkan diri
dengan skuad kebangsaan terlebih dulu untuk mendapatkan pelepasan.
“Nazirul hadir untuk menjalani
pemeriksaan dan selepas diperiksa pegwaai perubatan FAM, kita dapati memang dia
mengalami kecederaan dan tidak sempat pulih.
“Buat masa ini, saya masih
belum memikirkan mengenai penggantinya. Kemungkinan besar tiada pengganti
kerana saya mempunyai 23 pemain ketika ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:32 AM
No comments:
Post a Comment