Terus menerajui perkhidmatan
terbaik sejak ditubuhkan
04 Ogos 2016 7:00 AM
Album kenangan...Anak kapal
Kuala Lumpur sibuk menaikkan tambatan kapal bagi membolehkannya bersiap sedia
meninggalkan Pelabuhan Singapura. Kelihatan jemaah haji masih melambai-lambai
tangan mereka.
SABAN tahun jemaah haji
Malaysia terus mendapat pujian bukan sahaja daripada kerajaan Arab Saudi,
tetapi juga negara-negara Islam yang lain. Segala-galanya adalah hasil usaha
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang bertanggungjawab menguruskan pemergian
umat Islam dari negara ini melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
Walaupun sekali sekala menerima
‘usikan’ pihak tertentu yang cuba mempolitikkan sesuatu isu melibatkan agensi
tersebut namun Tabung Haji tidak pernah tergugat atau terganggu dengan matlamat
serta tanggungjawabnya.
Menoleh kembali sejarah Tabung
Haji, ia bermula dengan kewujudan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji
pada November 1962 dan beroperasi mulai 30 September 1963. Perbadanan ini
dilahirkan hasil penerimaan kertas kerja Prof. Diraja Ungku Aziz bertajuk
‘Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji’ pada tahu 1959.
Untuk mempertingkat
perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan
tersebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di
Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau
ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan
Tabung Haji 1969.
Kewujudan Tabung Haji adalah
rahmat untuk umat Islam di negara ini. Melalui kewujudan agensi tersebut mereka
tidak perlu lagi menggunakan cara konvensional atau bak kata orang menyimpan
wang di bawah bantal untuk ke Tanah Suci.
Sebaliknya melalui Tabung Haji
mereka boleh menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan
menunaikan fardu haji. Kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam
tidak disia-siakan oleh agensi tersebut, ia termasuklah menyediakan peruntukan
subsidi bagi memastikan umat Islam tidak dibebankan dengan kos tinggi.
Contohnya, pada tahun ini
Tabung Haji memperuntuk subsidi sebanyak RM160 juta kepada jemaah haji bagi
membolehkan kos menunaikan rukun Islam kelima itu dikekalkan pada kadar
RM9,980.
Kos sebenar bagi setiap jemaah
haji tahun ini adalah RM18,890 namun dengan subsidi Tabung Haji sebanyak
RM8,910 seorang, maka kadar lama dapat dikekalkan.
Kadar tersebut juga tidak
pernah dinaikkan sejak lapan tahun dulu dan kemampuan memberikan subsidi yang
besar kepada jemaah haji membuktikan kekukuhan operasi Tabung Haji sebagai
sebuah institusi kewangan Islam.
Tabung Haji juga turut membalas
kepercayaan diberikan pendeposit-pendepositnya dengan berusaha meningkatkan
perkhidmatannya. Saban tahun ada sahaja perubahan dan usaha dilakukan oleh
Tabung Haji bagi kemudahan dan keselesaan jemaah haji. Ia termasuklah dari segi
kursus haji, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan kaunseling.
Berikutan usaha gigih itulah
Tabung Haji kini seperti mana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
terus menjadi satu kebanggaan bukan sahaja di negara ini malah dalam dunia
Islam. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji memungkinkan
beberapa negara cuba mewujudkan institusi yang mempunyai fungsi yang sama
tetapi sehingga kini mereka gagal melakukannya.
Bagaimanapun suatu perkara yang
tidak boleh dipinggirkan ialah kemampuan Tabung Haji memberikan perkhidmatan
terbaik kepada jemaah haji sehingga mendapat pujian masyarakat dunia setiap
kali musim haji adalah hasil kegigihan dan komitmen petugas-petugas haji.
Merekalah sebenarnya nadi
kepada kejayaan tersebut. Pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji akan
menjaga kebajikan dan keselamatan 22,320 jemaah.
Atas sebab itulah umat Islam di
negara ini perlu bersyukur dan berasa bertuah kerana mempunyai sebuah agensi
seperti Tabung Haji. Tanpa Tabung Haji belum tentu mereka akan dapat
melaksanakan ibadah haji dalam keadaan selesa dengan pelbagai kemudahan.
Justeru dalam apa juga situasi
Tabung Haji perlu dipertahan. Jangan dibiarkannya rosak atau imejnya tercalar
akibat mainan politik pihak tertentu yang sengaja menyebarkan perkara tidak
benar mengenai agensi tersebut.
Apa yang berlaku baru-baru ini
boleh dijadikan contoh apabila ada pendeposit atau penyimpan di Tabung Haji
kelam kabut mengeluarkan wang simpanan mereka semata-mata kerana terpedaya
dengan agenda politik individu tertentu.
Tabung Haji tidak harus
dipolitikkan atau menjadi mangsa politik. Sebaliknya Tabung Haji perlu terus
diperkukuh kerana agensi itu telah membuktikan kemampuannya menguruskan tetamu
Allah sejak lima dekad lalu. Sesungguhnya Tabung Haji adalah rahmat kepada umat
Islam di negara ini, justeru bersyukurlah, jangan dipersia-sia rahmat Allah
itu.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/tabung-haji-rahmat-untuk-umat-islam-1.366010#sthash.MigsfoFb.dpuf
No comments:
Post a Comment