ARKIB : 14/10/2009
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL
RAHIM
maisarah.utusan.com.my
Datuk Jamil Khir Baharom (kanan)
menyampaikan Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kepada Irfan Datuk Yusoff Zaky
(kiri) yang mewakili Allahyarham ayahandanya sambil diperhatikan Dr. Mashitah
Ibrahim (tengah) pada majlis Anugerah Media Islam Negara.
MENGABDIKAN seluruh kehidupan
demi menyambung tugas Rasulullah SAW dalam menyampaikan seruan dan tuntutan
Yang Maha Esa kepada seluruh isi alam, bukanlah satu kerja yang mudah untuk
digalas.
Namun, itulah tugas yang sebegitu
berat dipandang apatah lagi dipikul, digalas dengan penuh dedikasi oleh seorang
tokoh pengamal media Islam, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob sehingga
melayakkan beliau diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam pada
Majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kali ketiga.
Anugerah berprestij itu bagi
menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dalam memartabatkan Islam sebagai
penggerak kemajuan ummah negara, memihak kepada beliau, seorang tokoh
penterjemah karya terkenal, Asy-Syahid Sayyid Qutb - Fi Zilal al-Quran 17 jilid
yang ditekuni beliau selama 11 tahun.
Menyelusuri kehidupan anak
kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang dilahirkan pada 13 Jun 1928 ini, erti penat
lelah dalam kerja penulisan, penterjemahan, pemikiran, kesusasteraan,
penyelidikan, penerbitan serta percetakan sebagai insan media dakwah seolah
tiada dalam kamus hidupnya.
Menurut Mantan Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman ketika membacakan kisah
perjuangan tokoh ini pada malam anugerah itu, walaupun cita-cita untuk
menterjemahkan kitab yang berhalaman lebih 5,000 halaman itu tercetus sejak
tahun 1952 semasa beliau belajar di Kaherah, ia hanya tercapai pada akhir
kehidupan beliau.
"Jantungku berdebar jariku
menggeletar, hatiku diusik rasa dan tanya yang serius apakah diriku mampu menghabiskan
terjemahan kitab sebesar ini atau apakah usaha ku akan patah di tengah jalan,
saat usia meniti senja yang mulai suram?
"Apakah tenaga perseorangan
berdaya melintasi lebih 5,000 ribu halaman tafsir ini, mampu merenangi dan
menyelami lautan pengetahuan dan kebudayaan yang saujana luasnya?"
Itulah antara bait ungkapan
beliau di dalam Kata Pengantar kitab terjemahan agung itu yang diterbitkan
Pustaka Aman Press atas biaya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
(YPEIM).
Sesungguhnya harapan dan doa
beliau mendapat keizinan dan taufik Allah SWT atas niat murni itu untuk
menterjemahkan kitab tafsir bahasa Arab yang begitu tinggi sasteranya ke dalam
bahasa ibunda bagi memudahkan bangsa seagamanya mendalami rahsia ilmu dalam
kitab itu.
Anugerah Perdana AMIN itu
disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Jamil
Khir Baharom kepada anak sulung Allahyarham Yusoff, Nasir Zihni.
Pengiktirafan itu melayakkan
beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000, hadiah iringan iaitu satu set
Kitab Fi Zilal al-Quran 17 jilid bernilai RM3,000 beserta sijil.
Turut hadir pada anugerah itu
ialah Timbalan Menteri di JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, mantan
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Allahyarham Yusoff telah mengatur
kehidupan beliau di awal usianya sebagai pendakwah dengan melengkapkan diri
dengan pelbagai lapangan ilmu sehingga ke aspek pemilihan pusat pengajian.
Ketika kebanyakan pelajar dari
Malaysia memilih Universiti Al-Azhar di Mesir, namun ia tidak menjadi pilihan
beliau. Sebabnya, semata-mata untuk mendalami ilmu baru dan berlainan kerana
skop pengajian di Al-Azhar sudah dipelajari beliau di Kelantan.
American University of Cairo
menjadi pilihannya demi mendalami ilmu pendidikan dan psikologi yang telah
membuka cakerawala pemikirannya kepada pendekatan baru dalam dunia
kepengarangan sebagai senjata untuk berdakwah.
Sesungguhnya minat dan
kesungguhan beliau untuk menjadi pengarang dan penulis terbukti apabila banyak
buku karya beliau diterbitkan selepas manuskrip pertama berjudul Saikologi
Remaja tidak mendapat sambutan pada awalnya.
Bermula daripada langkah pertama
itu, maka terbitlah buku-buku susulan beliau antaranya; Dari Rahim Ke Dunia,
Psikologi Kanak-kanak, Psikologi Takut, Mencari Kejernihan Jiwa dan 1001
Masalah Jiwa Manusia.
Kelahiran satu-persatu buku
tulisan beliau menjadi titik-tolak terdirinya sebuah syarikat penerbitan yang
besar iaitu Pustaka Dian Press beberapa bulan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.
Anak kepada seorang ulama
Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu tidak pernah
kenal lelah dan kecewa dalam menggalas tugas berdakwah malah tetap gagah dan
kental tanpa melepaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarang dan pendakwah
Islam sehingga akhir hayat beliau. Beliau akhirnya menyahut panggilan Ilahi
pada 19 Januari 1999.
Selain Anugerah Perdana Media
Islam, AMIN anjuran Jakim itu turut mempertandingkan Anugerah Penerbitan Radio,
Anugerah Penerbitan Televisyen, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Laman
Web dan Anugerah Khas Juri.
AMIN antara lain bertujuan
menggalakkan penerbit media elektronik, cetak, penulis dan pengkarya di negara
ini menghasilkan karya mengenai Islam yang menjadi wahana ilmu dan penggerak
kepada kemajuan umat dan negara.
Utusan Melayu (M) Berhad yang
menerbitkan akhbar Utusan Malaysia muncul sebagai penerbit akhbar terbaik bagi
kategori Penerbitan Media Cetak Terbaik yang diadakan di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Kemenangan bagi kategori Anugerah
Penerbitan Media Cetak itu melayakkan syarikat berkenaan menerima hadiah wang
tunai RM2,000, satu set Kitab Fi Zilal al-Quran berserta trofi dan sijil.
Hadiah disampaikan oleh A. Aziz
Deraman yang juga Pengerusi Panel Hakim Anugerah Penerbitan Media Cetak kepada
Pengarang Agama Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin.
Sebanyak 665 penyertaan diterima
daripada pengamal media dan orang awam berbanding hanya 200 penyertaan pada
tahun 2007.
Penilaian dan pemilihan pemenang
diputuskan barisan hakim yang dipengerusikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik
Safiah Abdul Karim.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YaiM7s00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment