Ad

Saturday, 8 December 2018

Pemain kita semakin yakin, dominasi permainan

SUKAN»Bola
Sabtu, 8 Disember 2018 | 10:34pm
 
Pemain kita semakin yakin, dominasi permainan

Oleh Mohd Fazly Mohd Noor
KOLUM APA KATA PENYOKONG HARIMAU MALAYA

Akhirnya misi untuk beraksi di pentas final Piala AFF edisi 2018 tercapai sudah. Harimau Malaya melangkah gagah ke pentas final dengan penuh bergaya selepas mengenepikan juara lima kali yang juga sang juara bertahan, Thailand.

Kepuasan tidak dapat digambarkan terutama di wajah penyokong-penyokong bergelar ‘Ekor Harimau Malaya’ yang sanggup berkorban wang dan masa untuk ke Bangkok menyokong wira negara beraksi terutamanya selepas menyaksikan sejarah tercipta dengan kejayaan mengenepikan Thailand, - pasukan mengecewakan Malaysia dua kali di pentas final pada 1996 dan 2014.

Skuad Harimau Malaya kali ini sangat mantap dengan adunan pemain berpengalaman dan pemain muda yang berpotensi. Mohd Aidil Zafuan memimpin pasukan di benteng tengah manakala kembarnya, Mohd Zaquan Adha mengetuai bahagian serangan sambil dibantu wira 2010, Mat Yo.

Tetapi dari ramai pemain muda, saya merasakan Syamer Kutty Abba adalah pemain paling cemerlang untuk pasukan. Kelibatnya di bahagian tengah seperti Patrick Vieira, bukan sahaja untuk melindungi benteng pertahanan tetapi juga bertindak membantu bahagian serangan.

Gol penyamaan Mat Yo yang membawa Malaysia ke pentas final adalah hasil umpanan beliau.

Namun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe dan pembantu-pembantu beliau menjelang final, Selasa ini.

Benteng pertahanan kita tampak masih sukar mengatasi `set-piece’ dari pihak lawan terutamanya dalam perebutan bola tinggi dalam kotak penalti. Ketiadaan Syahmi Safari di pentas final ini pasti dirasai terutama tenaga beliau yang tidak mengenal penat naik dan turun membantu serangan dan bertahan.

Bahagian tengah juga terutamanya Akram Mahinan perlu lebih fokus dan kental terutamanya dalam membaca dan meneutralkan gerakan serangan lawan. Selain itu, pemain-pemain sayap seperti Mohammadou Sumareh dan Safawi Rasid juga perlu lebih tepat dalam melintangkan bola ke dalam kotak penalti lawan selain perlu lebih klinikal dan yakin dengan penyudahan mereka.

Akhir kalam, saya optimis dengan peluang skuad Harimau Malaya untuk menjulang kejuaraan kedua Piala AFF. Corak permainan Malaysia juga sudah jauh berubah dengan pemain-pemain lebih yakin mengawal permainan dengan penguasaan bola yang sangat bagus.

Taktikal yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe ini sama ada 4-2-3-1 mahupun 4-3-2-1 tidak mengubah permainan pasukan kerana teras permainan pasukan ini adalah berpaksikan penguasaan bola.

Kita berjaya dominasi lebih 60 peratus penguasaan bola ketika menentang Vietnam di Hanoi dan hanya kealpaan barisan pertahanan memberikan mereka gol. Ayuh penyokong-penyokong Harimau Malaya, zahirkan sokongan anda dengan sama-sama turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyokong pasukan kebangsaan kita.

“Satukan Jiwamu, Selamanya Harimau Malaya, Selagi Kita Bernyawa, Oh Malaysia, Kau Kebanggaanku!”
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 8 Disember 2018 | 10:34pm

No comments:

Post a Comment