01 Jun 2015 1:15 AM
Fandi Othman
SINGAPURA – Ketua pasukan
negara, Mohd. Fandi Othman mengakui, Malaysia menempah laluan berliku apabila
sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam aksi pembukaan
bola sepak Sukan SEA di Singapura, kelmarin.
Katanya, pasukan negara kini
tiada pilihan kecuali menewaskan Vietnam dan Thailand sekiranya berhasrat untuk
menempah tiket ke separuh akhir selaku dua pasukan teratas Kumpulan B.
Malaysia kini menduduki tangga
ketiga kumpulan selepas dua pesaing mereka, Thailand dan Vietnam mencatat
kemenangan besar 6-0 ke atas Laos serta Brunei dalam aksi pembukaan
masing-masing.
Tambahnya, ketiadaan Muhd.
Nazmi Faiz Mansor yang dijangka tidak boleh beraksi dalam dua perlawanan akan
datang pasti merumitkan keadaan tetapi dia menaruh harapan rakan sepasukan lain
mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah Selangor itu.
“Kemenangan tipis ke atas Timor
Leste bermakna jika kami mahu layak, kami perlu menang..perlu mengutip mata
penuh ketika bertemu kedua-dua pasukan (Vietnam dan Thailand), itu laluan yang
kami terpaksa lalui.
“Kehilangan Nazmi saya akui
akan sedikit jejaskan mood pasukan tetapi kami masih ada pengganti lain dan
saya rasa Saiful Ridzuwan (Selamat) boleh menggantikan tempat dia di posisi
tengah,” kata Fandi.
Skuad negara dijadual menentang
Vietnam esok dan bertemu Thailand pada 4 Jun dalam perlawanan di sebelah
petang, dua aksi yang dilihat menjadi hala taju mereka bagi merampas kembali
pingat emas yang hilang pada dua edisi lalu.
Menyentuh tindakan Nazmi, Fandi
berkata, rakan sepasukannya itu memohon kemaafan atas apa yang dilakukan, namun
sebagai satu pasukan, dia menganggap mereka perlu bersama dalam apa jua
situasi.
“Selepas permainan tamat, Nazmi
ada berjumpa dengan kami dan minta maaf atas apa yang terjadi, sebagai satu
pasukan sama ada menang atau kalah, kami tetap akan bersama dalam satu pasukan.
“Inilah bola sepak, kadang-kala
kami terpaksa bermain dengan 10 orang dan apa yang penting kami kena sentiasa
fokus walau apa yang terjadi dan saya tetap gembira walaupun menang 1-0,”
katanya.
Bagi penjaga gol negara, Mohd.
Farhan Abu Bakar, yang bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan terakhir
lawan pada 10 minit terakhir, kemenangan ke atas Timor Leste begitu mencabar
sambil berasa sedikit bimbang tanpa kehadiran Nazmi.
“Perlawanan hari ini amat
mencabar kerana kita terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dan ini
memang satu kerugian kepada pasukan, syukur dapat mencuri tiga mata penting.
“Cuma satu kerugian kerana
tidak banyak gol yang kita dapat jaringkan sebelum menghadapi Vietnam dan
Thailand.
“Ketiadaan Nazmi yang saya
belum pasti akan digantung berapa perlawanan pasti akan menyukarkan lagi
keadaan. Saya menggesa rakan sepasukan berikan komitmen lebih 100 peratus,”
katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-pilih-laluan-berliku-8211-fandi-1.97842#sthash.DBqsRgyJ.dpuf
No comments:
Post a Comment