Ad

Wednesday, 29 March 2017

Tahanan Perang - Mohd. Khalid saksi kekejaman tentera Jepun

ARKIB : 15/03/2003
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
BAGI generasi muda, bekas Juruiring Tentera kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ini mungkin agak kurang dikenali. Tetapi di kalangan generasi lama, namanya agak harum terutama kepada mereka yang pernah berkhidmat dalam Tentera Darat.

Biarpun begitu, tidak banyak kisah perjuangannya yang diketahui umum kecuali mengenai penglibatannya dalam sambutan kemerdekaan negara.

Sedangkan hakikatnya, tokoh ini merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Angkatan Tentera MALAYSIA (ATM) apatah lagi pernah berjuang dalam tiga zaman berbeza.

Bermula dengan penjajahan British, lelaki yang telah berusia 83 tahun ini turut terbabit menentang pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, membina semula Rejimen Askar Melayu selepas perang berakhir di samping menentang pemberontakan komunis.

Biarpun begitu, di antara banyak pengalaman yang pernah ditempuhi oleh Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Halim, kisah sewaktu dalam tahanan Jepun adalah antara yang paling sukar padam dari diari hidupnya.

Mohd. Khalid yang menyertai Rejimen Askar Melayu sebagai rekrut pada 18 Mac 1940 masih ingat, sebaik sahaja British menyerah kalah pada 15 Februari 1942, perajurit Askar Melayu yang terselamat dalam pertempuran telah dihimpunkan di Keppel Harbour Golf Course sebagai tahanan perang.

Dua hari kemudian, seramai lapan pegawai dan kira-kira 600 Askar Melayu telah diasingkan dari kumpulan Tentera British.

Para pegawai yang berbangsa Inggeris kemudiannya dibawa ke Berek Gillman dan Kem Tentera Changi manakala tahanan Melayu termasuk Mohd. Khalid dipindahkan ke Ferrer Park bersama Tentera India.

Sepanjang ditahan di situ pelbagai peristiwa tragis yang sempat disaksikan oleh beliau. Hari-hari dalam tawanan juga memeritkan. Adakalanya fajar yang menyingsing pada setiap pagi mencemaskan mereka apatah lagi nyawa sentiasa ibarat telur di hujung tanduk.

``Apa tidaknya. Setiap hari ada sahaja tahanan yang dibawa keluar oleh Tentera Jepun. Ada yang hilang, ada yang kembali. Yang tidak kembali, kami percaya telah mati dibunuh.

``Kami percaya lambat laun akan tiba juga giliran kami untuk dibunuh. Jadi buat apa tunggu lama-lama di situ,'' katanya.

Menurut Mohd. Khalid, peluang untuk melepaskan diri agak terbuka luas kerana kawalan Tentera Jepun tidak terlalu ketat. Cuma yang dibimbangkan ialah padah yang menanti jika tertangkap iaitu hukuman mati.

Lebih-lebih lagi sikap Tentera Jepun terhadap perajurit Askar Melayu sukar diduga. Adakalanya mereka agak berlembut, tetapi sering juga bersikap kejam terhadap Askar Melayu.

``Misalnya, Tentera Jepun pernah menawarkan kepada 98 anggota Askar Melayu untuk dihantar pulang ke kampung mereka dengan syarat mereka menanggalkan pakaian seragam.

``Disebabkan enggan berbuat demikian demi maruah Rejimen Askar Melayu, mereka akhirnya dibunuh dengan kejam berhampiran Gap Ridge,'' katanya.

Pada 4 Mac 1942 tahanan perang yang ada dipindahkan ke Geylang Chinese High School selama dua malam.

Suatu hari, Mohd. Khalid melihat Tentera Jepun menghampiri Leftenan Ibrahim Sidek yang popular dengan panggilan Ibrahim Kepak Ayam untuk dibawa keluar dari kem.

Sebelum dibawa ke kenderaan, Mohd. Khalid sempat berjabat tangan dengan rakannya itu sambil berkata: ``Semoga berjumpa lagi dan selamat.''

Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir mereka kerana selepas itu Ibrahim dan enam pegawai Melayu yang lain telah dibunuh dengan kejam oleh Jepun berhampiran Pasir Panjang.

``Apa yang saya tahu, mereka dibunuh dengan tembakan mesingan hanya kerana enggan menanggalkan pakaian seragam Askar Melayu yang dipakai.

``Begitulah taat setianya mereka kepada pasukan walaupun nyawa menjadi gantinya,'' kata beliau.

Selepas lebih 30 hari menjadi tahanan perang, Mohd. Khalid sudah tidak tahan lagi melihat kekejaman Tentera Jepun dan nekad untuk melarikan diri. Untuk itu beliau mengatur rancangan bersama Hassan Din atau digelar Hassan Batak.

Hassan berkebolehan bermain alat-alat muzik seperti piano dengan baik. Kelebihan itu digunakan oleh Hassan untuk menarik perhatian Tentera Jepun yang berkawal pada suatu malam.

``Ketika pengawal sedang asyik mendengar alunan piano Hassan, seorang demi seorang melarikan diri dengan menyusup di bawah kawat berduri dan seterusnya bersembunyi di hutan berhampiran.

``Antara yang berbuat demikian ialah saya dan Mohd. Zain. Kami memang nekad waktu itu walaupun risikonya amat tinggi,'' katanya.

Kemudian mereka berdua berlari menuju ke Jalan Minto untuk bertemu Ibrahim, bapa angkat Mohd. Zain untuk berlindung. Melalui Ibrahim, mereka mendapat maklumat mengenai pergerakan Tentera Jepun seterusnya meminta bantuan beliau untuk mendapatkan tiket kereta api untuk pulang ke kampung masing-masing di Perak.

Bagaimanapun, perang yang meletus telah memusnahkan laluan kereta api sehingga menyebabkan mereka terkandas di rumah Ibrahim. Sehinggalah pada suatu hari, kira-kira seminggu kemudian, Ibrahim membawa akhbar The Syonan Sinbun, (berbahasa Inggeris) yang menyiarkan pengumuman mengenai pergerakan kereta api ke utara keesokan harinya.

Pada masa itu, tambang ke Tanjung Malim yang merupakan kampung halaman Mohd. Zain ialah RM6 manakala ke Kuala Kangsar RM10.

``Nasib baik masa itu saya ada menyimpan RM20 manakala Mohd. Zain RM8. Ia cukup untuk kami beli tiket,'' terang beliau.

Petang itu, mereka membeli tiket di Stesen Kereta Api Tanjung Pagar. Turut dibeli ialah lima buku roti untuk mengalas perut ketika perjalanan nanti.

Tepat pukul 8 malam, ketika kereta api hampir hendak bergerak, mereka memasuki sebuah gerabak, tanpa mengetahui ia dikhaskan untuk tali barut Jepun yang berbangsa Thai serta tentera upahan mereka. Penumpang biasa sepatutnya hanya boleh menaiki gerabak barang sahaja.

``Pakaian seragam Askar Melayu yang kami pakai lebih kurang sama dengan warna pakaian mereka. Jadi mereka ingat kami sebahagian daripada mereka.

``Nasib baik pangkat dan lambang lain pada pakaian telah kami tanggalkan. Jika tidak, tentu Tentera Jepun akan menangkap kami,'' katanya.

Selepas beberapa ketika berada dalam gerabak, mereka mula resah apabila kereta api tidak juga bergerak walaupun jam telah melewati pukul 8 malam.

Bagaimanapun, tepat pukul 10 malam mereka lega apabila kereta api mula meninggalkan Tanjung Pagar. Sebaik tiba di Johor Bahru, Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang. Nasib baik gerabak yang mereka naiki tidak diperiksa. Perjalanan kereta api ke utara agak lambat kerana Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke atas penumpang di semua stesen yang dilalui.

Malah sehingga esoknya, mereka baru tiba di Kluang, Johor. Waktu itu, bekalan roti yang dibawa hampir habis dan ini mula membimbangkan mereka.

Selepas empat hari bergerak, kereta api yang dinaiki tiba di Seremban pada pukul 5 pagi. Disebabkan terlalu lapar, mereka turun untuk membeli nasi bungkus berharga 20 sen dan minum air paip di stesen berkenaan. Pada pukul enam petang mereka tiba di Kuala LUMPUR. Masuk hari ketujuh barulah kereta api itu menyambung perjalanan ke utara.

Sebaik kereta api bergerak, mereka mula merancang tindakan yang akan dilakukan apabila kereta api tiba ke kampung masing-masing.

``Yang paling penting sekali ialah untuk memastikan kami tidak ditangkap Tentera Jepun. Jadi keputusan kami ialah terjun dari keretapi beberapa kilometer sebelum ia sampai ke stesen Tanjung Malim atau Kuala Kangsar,'' katanya yang bersara dari tentera pada tahun 1965.

Apabila menghampiri Stesen Tanjung Malim pada pukul 8 malam, Mohd. Zain tanpa sempat bersalam dengan Mohd. Khalid terus terjun dari kereta api dan berlari ke dalam semak berhampiran.

``Saya tidak tahu nasibnya selepas itu kerana saya lihat Tentera Jepun banyak berkeliaran berhampiran kawasan tersebut. Hati saya berdoa agar dia selamat,'' katanya.

Kira-kira pukul 10 malam kereta api menghampiri pula Kuala Kangsar. Tanpa berlengah Mohd. Khalid terus terjun dan berlari sekuat hatinya menuju ke kampungnya dalam kegelapan malam. Tiba di rumah, beliau di sambut dengan linangan air mata oleh ibu dan ahli keluarganya.

Sepanjang berada di kampung, Mohd. Khalid melakukan bermacam kerja untuk meneruskan kehidupan termasuk menjadi pemandu lori untuk membawa beras milik Jepun. Di kampung juga, Mohd. Khalid mendapat tahu sebahagian besar rakan-rakannya yang menjadi tahanan perang telah dihantar menjadi buruh paksa di Thailand, Myanmar dan Indonesia.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4cj8zCDDb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Yahya Harun - Tiga kali ditembak komunis dalam operasi


 

ARKIB : 15/03/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
YAHYA Harun bersama rakan-rakan dari Perancis, Rusia dan Indonesia semasa mengikuti rombongan melawat pangkalan Tentera Laut Thailand di wilayah Satthip.

ANAK kelahiran Pekan Nenas, Pontian ini pernah ditembak oleh pengganas komunis sebanyak tiga kali ketika menyertai Operasi Selamat Sawadee di sempadan Malaysia-Thailand sekitar tahun 1977 sehingga 1980.

Beliau yang pada ketika itu menjadi pembantu juruterbang helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bukan sahaja ditembak menggunakan mesingan tetapi pernah ditembak dengan pelancar roket.

Menurut Leftenan Kolonel Yahya Harun, 46, dalam ketiga-tiga kejadian itu, beliau terselamat dan berjaya meneruskan penerbangan ke kawasan yang lebih selamat.

Itulah antara pengalaman getir yang tidak akan dilupakan Yahya sepanjang khidmatnya demi menjamin keamanan negara.

Bagaimanapun, nasib ternyata tidak selalu menyebelahi bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian ini.

Beliau akhirnya `terkorban' apabila helikopter yang dipandunya `terhempas' setelah ditembak dalam satu operasi menyelamatkan pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) berpangkat Jeneral daripada tawanan musuh.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana peristiwa yang berlaku pada tahun 1986 di Tanjung Aru, Sabah bukan berlaku dalam keadaan sebenar tetapi sekadar lakonan sebuah filem bertajuk BAT21, yang dilakonkan oleh aktor terkenal Hollywood, Gene Hackman dan Danny Glover.

``Jika mengikut skrip sudah lama saya meninggal dunia tetapi Alhamdulillah situasi dalam filem itu tidak berlaku dalam dunia yang sebenar,'' katanya yang kini merupakan Pegawai Memerintah, 881 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang berpangkalan di Kem Mahkota, Kluang, Johor.

Menurut Yahya, pengalaman berlakon bersama Gene Hackman itu adalah secebis daripada kenangan manis sepanjang 27 tahun berkhidmat bersama TUDM.

``Saya tidak tahu bagaimana saya terpilih, tetapi apa yang saya tahu, pengarah filem tersebut mahu juruterbang helikopter terbaik,'' katanya yang sehingga kini telah mengumpul sebanyak 4,238 jam penerbangan.

Yahya memulakan perkhidmatan bersama TUDM pada tahun 1975. Selepas menamatkan kursus asas juruterbang beliau ditempatkan di 3 Skuadron yang berpangkalan di Butterworth.

Dalam pembabitan awalnya, beliau menempuh pengalaman yang mencabar berikutan ancaman komunis yang masih berleluasa.

Sepanjang tempoh itu juga beliau berpeluang menyertai operasi ketenteraan termasuk Operasi Selamat Sawadee.

Pada 1980, beliau dinaikkan pangkat Kapten helikopter Alloutte. Selepas mengikuti kursus Jurulatih Helikopter Bertauliah, beliau kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pesawat Alloutte, pada tahun 1984. Dua tahun kemudian beliau ditukar ke Kuching, Sarawak untuk menjadi Pegawai Jurulatih.

Pada 1988, beliau dilantik sebagai pemeriksa juruterbang selama lima tahun sebelum mengikuti kursus di Maktab Turus di Bangkok, Thailand pada tahun 1993.

Sebelum ditugaskan sebagai Pembantu Penasihat Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Bangkok pada tahun 1997, beliau pernah bertugas di Institut Latihan Instruktor Terbang di Pulau Pinang (1994) dan Kolej Tentera Udara di Alor Star.

Sekembali dari Bangkok pada tahun 2002 beliau ditugaskan sebagai Inspektorat General TUDM dan sejak 6 Jun tahun lalu menjadi Pegawai Memerintah 881 Skuadon PUTD.

Menceritakan penglibatannya dalam operasi Operasi Selamat Sawadee yang disifatkannya sebagai tempoh yang paling mencabar dalam kerjayanya sebagai juruterbang helikopter, Yahya berkata, pengalaman ditembak dengan pelancar roket sukar dilupakan.

Menurutnya, meskipun pada ketika itu beliau hanya bertindak sebagai pembantu juruterbang, namun cabaran dan risiko yang perlu ditanggung tidak ada banyak bezanya.

Katanya, peristiwa tersebut berlaku di satu kawasan mendarat dekat Kroh ketika beliau bersama Kapten Nor Zainal ditugaskan untuk membawa pulang anggota tentera selepas satu operasi.

``Saya telah diberi tugas oleh Nor Zainal menurunkan pesawat. Belum pun sempat helikopter mencecah tanah kedengaran bunyi tembakan dan terup meniarap mencari perlindungan.

``Saya memjerit ke arah Nor Zainal yang pada ketika itu sedang meneliti peta dan tidak menyedari tembakan itu.

``Nor Zainal terus mencampakkan peta itu dan sepantas kilat menarik Cyclic Spick mengambil alih pengemudian helikopter daripada saya dan menerbangkan semula helikopter berkenaan. Tembakan terus kedengaran dari pelbagai arah.

``Pada ketika itu juga saya terdengar bunyi pelancar roket dilepaskan dan melintasi sebelah kanan helikopter. Nasib kami baik, ia sedikit tersasar,'' katanya.

Nor Zainal kemudiannya meneruskan penerbangan dan mendarat di Teluk Intan untuk melihat keadaan helikopter.

Menurut Yahya, itu bukan pengalaman pertama kerana beliau pernah ditembak sebanyak dua kali ketika menghantar terup dan bekalan kepada anggota bertugas.

``Apa yang menarik, kebiasaannya terup medan akan memberi jaminan, keadaan sudah terkawal tetapi bila kita mendarat masa itulah kena tembak.

``Mereka meniarap mencari perlindungan, kita pula akan berlepas semula sambil mengharap tidak terkena tembakan,'' katanya lagi.

Menurut Yahya, sepanjang kerjayanya beliau juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi cemas.

Beliau masih ingat bagaimana, tingkap yang menjadi pelindung utama dilitupi oleh minyak enjin yang rosak secara tiba-tiba.

``Dalam keadaan cuaca buruk kami akhirnya berjaya membuat pendaratan kecemasan di Yong Peng,'' katanya.

Selain itu, Yahya turut mencatat pelbagai rekod seperti menjadi juruterbang pertama membuat pendaratan di garisan Khatulistiwa.

``Rekod itu dibuat di Selat Sumatera ketika dalam perjalanan mengadakan latihan bersama Tentera Indonesia pada Mei 1984,'' katanya.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cj7GIzf4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 27 March 2017

Zakaria - Menyamar jadi komunis kesan Chan Chor

ARKIB : 25/01/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
BAGI bekas anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) ini, pengalaman menjejak komunis mungkin sukar untuk dilupakan. Apatah lagi ia merupakan tugas utamanya selepas tamat kursus asas komando pada tahun 1970.

Pelbagai cara dilakukan dalam usaha menjejak komunis atau mencari maklumat sehingga tertangkapnya pengganas itu. Adakalanya penyamaran tersebut hampir meragut nyawanya.

``Namun kerana ia melibatkan soal keselamatan adalah lebih baik ia menjadi rahsia peribadi saya,'' katanya ringkas memulakan perbualan bersama Gaya Tentera Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zakaria Yatni, 56, sebenarnya bukan nama asing dalam RGK khususnya sekitar awal 70-an.

Anak jati Kampung Seri Merlong, Rengit Batu Pahat merupakan antara anggota terawal menyertai skuadron Y RGK, selepas unit itu ditubuhkan berikutan pembubaran Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia.

Di unit itu beliau telah mengikuti pelbagai operasi membanteras komunis termasuk melibatkan nama-nama popular seperti Abdullah C.D.

Selain itu, beliau juga kerap melakukan penyamaran dalam usaha mencari maklumat mengenai kedudukan komunis.

``Kadang-kadang penyamaran bukan sahaja untuk mencari kedudukan komunis tetapi mengetahui tali barut komunis,'' katanya yang kini mengendalikan Kelab Payung Terjun Negeri Melaka.

Penyamaran dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menjadi komunis sendiri semata-mata untuk mengetahui sama ada penduduk kampung itu merupakan penyokong komunis atau pun sebaliknya.

Beliau berkata, oleh kerana terlalu kerap melakukan penyamaran, adakalanya keluarga sendiri pun tidak mengenali dirinya.

Bagaimanapun, bagi Zakaria tugas menjejak pengganas komunis yang dikenali sebagai Chan Chor sukar untuk dilupakan kerana tugas tersebut bukan sahaja hampir meragut nyawanya malah menyebabkan beliau hilang seorang rakan.

Merenung kembali usaha menjejak Chan Chor dan kumpulannya, Zakaria berkata semuanya bermula dalam satu operasi menghapuskan komunis yang dipercayai sedang bersembunyi di sebuah kem yang terletak di satu kawasan berhampiran sempadan Sarawak dengan Kalimantan Barat di Indonesia.

Pada hari pertama operasi, kumpulan Zakaria seramai enam orang terpaksa membatalkan hasrat untuk masuk ke kem tersebut.

Juru pandu yang telah dilantik enggan membawa mereka masuk kerana kekuatan pasukan yang jauh terlalu kecil berbanding kumpulan komunis.

Keesokan harinya, Zakaria bersama 30 anggota meneruskan operasi tersebut.

Mereka bertolak pukul 9 pagi dalam pergerakan penuh berhati-hati kerana kawasan tersebut dipenuhi jerangkap samar.

Bagaimanapun, dalam keadaan berhati-hati itu seorang anggota, Koperal Subki, terjatuh ke dalam jerangkap samar komunis.

Nasib ternyata masih menyebelahi Subki. Duri pokok Nibong tersebut tidak menembusi tubuh sebaliknya hanya menyebabkan kecederaan kecil sahaja.

Apabila mereka sampai di kem tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, kem itu telah kosong. Usaha menggeledah diteruskan termasuk di gua-gua yang terletak berhampiran.

Hasil penggeledahan itu, Zakaria dan kumpulannya hanya menjumpai alat-alat kelengkapan harian, doktrin komunis dan dokumen dari negara China.

Menurut Zakaria, maklumat yang diperoleh menunjukkan Chan Chor dan 40 pengikutnya telah melarikan diri ke Indonesia bersama wang berjumlah RM40,000.

``Bagaimanapun, kami percaya masih ada saki baki yang tinggal bagi memerhati kumpulan kami,'' kata Zakaria.

Andaian tersebut dikuatkan lagi oleh maklumat yang Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah berjaya menembak seorang komunis berhampiran kawasan tersebut.

Memandangkan malam kian menghampiri, kumpulan tersebut tidak meneruskan usaha menjejak saki-baki pengganas itu dan mengambil keputusan bermalam di kem tersebut.

Sebagai langkah keselamatan, mereka membentuk tiga kumpulan Ronda Kum-pulan Kecil (RKK) bagi mengawasi kawasan sekitar pada waktu malam.

Malam berlalu tanpa sebarang insiden. Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 pagi, kumpulan tersebut dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan di tepi sungai berhampiran.

Semua anggota termasuk Zakaria terus menerpa ke kawasan tersebut dan melihat Sarjan Azman terbaring.

``Beliau meninggal dunia setelah terkena dua das tembakan di dada'' kata Zakaria.

Selepas itu, Zakaria dan empat rakan lain terus memburu penembak tersebut sambil rakan-rakan lain mengurus jenazah Sarjan Azman.

Bagaimanapun usaha tersebut menemui kegagalan. Selepas meneruskan operasi itu, Zakaria dan kumpulannya kembali ke kem di bandar Sibu.

Di situ perbincangan terus dilakukan mengenai strategi memburu Chan Chor dan selang beberapa hari Zakaria bersama empat komando terus diterbangkan ke Sungai Bening, Indonesia.

Dari Sungai Bening mereka ke Sambas. Dari Sambas mereka menuju ke Singkawang dengan menaiki bas.

Ketika dalam bas, mereka menyedari pergerakan mereka telah diekori.

Sebaik turun dari bas di pekan Singkawang, mereka telah disapa oleh orang yang mengekori itu yang sebenarnya merupakan ejen perisik rahsia Indonesia.

Sebaik di sapa, ejen yang menemani kumpulan Zakaria menjawab dengan tepat. Zakaria dan kawan-kawannya selamat.

Sekiranya jawapan yang sebenarnya merupakan kod rahsia tidak sama, bahaya menanti mereka.

Di pekan itu, mereka mendapat maklumat mengesahkan komunis yang menembak Sarjan Azman merupakan konco-konco Chan Chor.

Dan melalui seorang pemberi maklumat mereka mendapat tahu kedudukan Chan Chor.

Maklumat tersebut terus disalurkan kepada markas yang kemudiannya menghantar kepada Ketua Platun Tige, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kapten Hamid yang berada berhampiran dengan kawasan yang dimaksudkan oleh pemberi maklumat.

Pertempuran berlaku dan kumpulan Chan Chor tewas.

Menurut Zakaria, meskipun tidak diketahui sama ada pertempuran tersebut telah mengorbankan Chan Chor atau pun tidak, namun beliau tetap puas hati kerana berjaya mendapatkan maklumat sehingga kumpulan tersebut berjaya ditumpaskan.

Zakaria yang telah menamatkan perkhidmatan dengan ATM 15 tahun lalu kini menghabiskan masa dengan keluarga dan cucu.

``Namun satu perkara yang saya tidak dapat tinggal adalah payung terjun. Gian,'' katanya yang akan terus melakukan penerjunan selagi mempunyai kudrat untuk melakukannya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4cWFEarp0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, 23 March 2017

`Segalanya Bola' bersama TV3



ARKIB : 22/05/2002

PEMINAT bola sepak kini berpeluang untuk merasai kehangatan Piala Dunia melalui kempen `Segalanya Bola' yang akan memberikan siaran menyeluruh untuk kejohanan Piala Dunia 2002 FIFA, lapor ROSNIZA MOHAMAD

Pengurus Besar Kanan Pemasaran TV3, Joe D'Silva berkata, sebanyak 29 siaran langsung, satu siaran tertunda dan 30 rakaman sorotan khas akan disajikan untuk tontonan peminat bola sepak di seluruh negara mulai 31 Mei hingga 30 Jun ini.

Menurut beliau, semua rancangan itu termasuklah sebanyak 21 perlawanan secara langsung semasa peringkat pertama, tiga perlawanan peringkat kedua, dua perlawanan suku akhir, satu perlawanan separuh akhir, perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat serta perlawanan akhir.

``Melalui kempen Segalanya Bola, TV3 akan menyiarkan jumlah perlawanan langsung terbanyak jika dibandingkan dengan stesen televisyen tempatan lain.

``Ini merupakan satu sumbangan kami kepada semua peminat yang menyokong kami sejak 18 tahun lalu,'' katanya dalam satu kenyataannya di sini.

Beliau berkata, Segalanya Bola merupakan satu aktiviti khas menampilkan pelbagai aspek tentang bola sepak.

Tambah D'Silva, beberapa pengulas sukan terkenal seperti Datuk Rahim Razali dan Sherkawi Jirim, Ronald Smith dan Allan Harris akan memberi liputan mengenai siaran berkenaan.

Sebelum ini, mulai 18 April lalu TV3 menyiarkan sebanyak lapan episod Road To Asia yang membincang dan mengulas tentang dunia bola sepak hari ini.

Merancakkan lagi kemeriahan itu, TV3 turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pemenang yang menyertai peraduan laman web khas di alamat www.tv3.com.my/worldcup 2002.

Sehubungan itu, TV3 juga katanya turut menyenaraikan beberapa aktiviti menarik seperti Karnival Rakan Muda 2002 yang akan diadakan di lapan buah lokasi di seluruh negara.

``Satu fiesta khas akan diadakan pada awal bulan Jun di Sri Pentas menampilkan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan bola sepak dan boleh disertai oleh semua golongan,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cCJN8bvV
© Utusan Melayu (M) Bhd