Ad

Thursday 23 March 2017

Kelulusan STPM diutamakan ke IPTA



ARKIB : 18/05/2002
LABUAN 17 Mei - Kerajaan tidak membelakangkan hasrat pemegang diploma untuk melanjutkan pengajian ijazah tetapi lebih memberi keutamaan kepada para pelajar lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tempatan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, adalah menjadi keputusan kerajaan bahawa penuntut cemerlang STPM dan Matrikulasi disediakan peluang untuk memasuki universiti-universiti berkenaan.

``Berbanding dengan pemegang diploma kerana kelulusan mereka itu ialah hasil sesuatu kursus yang diikuti, jadi jika tidak mempunyai peluang untuk memasuki universiti, mereka boleh bekerja terlebih dahulu dan tunggu hingga ada peluang,'' katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML) bernilai kira-kira RM250 juta di Kampung Merinding, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ambrin Buang dan Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan, Profesor Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Musa diminta mengulas isu pelajar lepasan Diploma Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam yang menghantar memorandum kepadanya di Kementerian Pendidikan berhubung dengan sekatan untuk memasuki universiti tersebut.

``Saya belum lihat kandungan memorandum itu tetapi saya harap pihak UPM perlu beri penjelasan mengenai perkara ini,'' katanya.

Musa belum melihat memorandum itu kerana berada di Kota Kinabalu untuk sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2002 semalam dan hari ini pula melawat KML.

Semalam lebih 100 pelajar lepasan Diploma Pertanian UPM telah mengemukakan memorandum kepada Musa yang meminta universiti tersebut supaya memberi tempat untuk mereka bagi pengajian sesi Mei 2002/2003.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Ketua Unit Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO, Subahan Kamal dan 60 wakil pelajar terbabit kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pendidikan, Abdul Rahman Othman di pejabatnya di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

Seorang wakil pelajar, Iskandar Mohd. Sofian, 21, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.20 berkata, pihaknya mempersoalkan tindakan UPM menolak permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama sedangkan kebanyakan lepasan diploma universiti itu memperoleh CGPA 3.00 ke atas.

Pencapaian tersebut, katanya, adalah melebihi syarat kelayakan automatik yang ditetapkan oleh universiti iaitu CGPA 2.50.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4cACrBhod
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment