Ad

Wednesday, 15 March 2017

Soal jawab agama bersama Dr. Amran Kasimin



ARKIB : 04/02/2001
SOALAN: Saya terlanjur dengan teman lelaki tanpa tahu macam mana saya merelakannya. Dia terlalu mencintai saya dan tidak mahu saya terlepas. Hanya cara itu sahaja yang difikirkan olehnya supaya saya setia. Dia akan bertanggungjawab, tetapi kami tidak boleh kahwin kerana masih belajar.

Saya ingin membuat solat taubat nasuha dan memberitahunya tetapi dibantah. Dia masih belum bersedia melakukan bersama. Dia takut mengulanginya lagi kerana taubat nasuha hanya sekali. Bila ditanya adakah dia akan buat lagi, dia jawab ``ya.'' Kalau hanya saya bertaubat, macam mana dengan dia.

Saya malu nak berhadapan dengan orang tua dan juga masyarakat. Saya tak sanggup kehilangan dia dan tak sanggup menanggung dosa. Masihkah saya ada peluang kembali seperti sedia kala? - SITI, Perak.

JAWAPAN: Berdasarkan surat yang saudari kirimkan, saya dapati keterlanjuran yang berlaku menginsafkan saudari. Persoalan timbul ialah bagaimana perzinaan atau keterlanjuran itu boleh berlaku dengan kerelaan.

Setiap orang yang berakal dan berupaya menggunakan akalnya untuk memikiri sesuatu itu baik atau buruk akan dapat berfikir tentang logik keburukan akibat berzina.

Seorang Islam yang memahami agama akan mengerti bahawa perbuatan tersebut termasuk dalam salah satu dosa besar yang membinasakan.

Ia memberi kesan psikologi yang mendalam dan berpanjangan. Igauan buruk itu akan terus mengungkit-ungkit dalam ingatan selagi gambaran tersebut tidak terhakis.

Bagi perempuan yang belum berkahwin dia merasakan dirinya tidak bersih atau tidak suci lagi. Kelapa ditebuk tupai - satu perumpamaan Melayu yang memperlihatkan betapa buruknya pandangan masyarakat terhadap perempuan yang terlibat.

Namun demikian masyarakat mempunyai pandangan buruk ataupun trademark yang agak longgar terhadap lelaki yang terlibat dengan perzinaan, meskipun kepada bapak ayam itu sendiri, pada hal dosa yang dilakukan adalah sama, malah pihak lelaki dalam banyak hal lebih banyak memainkan peranan menggoda dan merangsang dalam aktiviti seumpama ini.

Keburukan-keburukan seumpama ini dapat difikiri oleh akal, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kandungan luar nikah, atau anak luar nikah.

Biarpun neraca seumpama ini wujud pada setiap orang yang berakal, tidak kira siapa dan apa anutan agama, namun dalam banyak hal, fungsi akal itu seumpama terkambus, tidak berupaya menggerak tingkah laku manusia daripada melakukan kejahatan, iaitu apabila nafsu itu menguasai akal seseorang.

Atas keburukan seumpama inilah maka Islam melarang keras lelaki perempuan duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi, jauh daripada manusia, ataupun ada manusia tetapi kejahatan itu boleh berlaku, kerana apabila seorang lelaki dan perempuan berada di tempat seumpama ini, makhluk yang ketiga ialah syaitan, yang merangsang supaya melakukan zina dan ini berlaku pada diri saudari.

Saudari berdua-duaan dengan teman lelaki saudari di tempat seperti yang dijelaskan, dalam keadaan sedar, mengetahui keburukan zina. Dalam masa yang sama, sebagai manusia biasa, saudari mempunyai nafsu, lalu akhirnya tunduk pada rangsangan syaitan menyebabkan berlakunya zina. Dalam hal demikian timbulnya satu soalan bagaimana keterlanjuran itu berlaku dalam keadaan direlai.

Memang benar perzinaan boleh menyebabkan seorang lelaki itu ``mengikat'' pasangannya daripada mencari pasangan lain. Si perempuan merasakan yang dirinya telah tercemar. Dia merasakan lelaki lain tidak mahu dengannya kalau tahu yang dia telah ditebuk tupai. Perasaan seumpama ini wujud pada pihak perempuan, tetapi kurang jelas pada lelaki, biarpun lelaki berkenaan ialah punca utama menyebabkan berlakunya zina.

Biarpun saudari menyatakan yang teman lelaki saudari mengikat saudari dengan cara yang seperti ini, tetapi saudari juga perlu ingat bahawa saudari boleh menjadi mangsa tempat melepaskan nafsunya, lebih-lebih lagi andainya saudari ``lemah'' setiap kali bertemu dengannya.

Dia boleh pergi, menyapu punggung pada bila-bila masa. Tidak ada satu yang boleh dipegang selain daripada alunan lidah yang diulang-ulang melalui perlakuan atau tutur kata. Tanda cinta dan kebimbangan terhadap saudari tidak boleh diraih dengan perzinaan. Ia hanya satu alasan semata-mata.

Untuk mengekalkan cinta atau sayang dan untuk menjamin seseorang itu tidak lari dengan cara melanggar hukum Allah, yang melibatkan dosa besar, yang jelas boleh mengheret ke neraka bukanlah pegangan manusia bertamadun atau takutkan Allah.

Kalau dia benar-benar sayang, setidak-tidaknya dia akan menemui kedua-dua ibu bapa saudari dan mengikat pertunangan, biarpun saudari masih lagi belajar. Malah saudari sendiripun, sebagai seorang pelajar, tidak wajar melakukan apa yang telah terjadi. Tentunya apa yang berlaku mengganggu pelajaran saudari.

Seperkara lain, saya tidak faham bagaimana saudari perlu mendapat persetujuan daripada pasangan saudari ketika hendak melakukan sembahyang taubat. Saudari telah terlibat dengan dosa besar. Dosa itu tanggungan masing-masing. Bertaubat tidak memerlukan persetujuan dengan pasangan yang sama-sama melakukan dosa. Belanja hangus kahwin boleh dirundingkan, tetapi masalah taubat adalah urusan manusia sendiri dengan Allah.

Mungkin saudari berbuat demikian dengan harapan untuk melakukan taubat nasuha. Ini berlaku kerana pada pemahamannya, juga pemahaman saudari apabila seseorang itu telah melakukan taubat nasuha, dia mesti menjadi manusia baik, tidak melakukan perzinaan.

Taubat nasuha itu hanya sekali dalam seumur hidup, pada hal teman saudari masih mempunyai keinginan untuk melakukan zina lagi. Hal ini jelas apabila saudari bertanyakan kepadanya.

Rasulullah s.a.w seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis ada bersabda yang bermaksud: Barang siapa membiasakan beristighfar, Allah memberi jalan keluar bagi setiap kesempitan, kegembiraan bagi setiap kebimbangan dan Allah memberi rezeki yang tidak dapat dikira. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Setiap anak Adam mempunyai dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa itu ialah mereka yang bertaubat. Dalam sebuah hadis lain dijelaskan bahawa Baginda s.a.w ada bersumpah sesungguhnya baginda memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. Dalam sebuah hadis lain, baginda menyeru setiap orang agar bertaubat kepada Allah. Baginda bertaubat setiap hari 100 kali.

Muhammad s.a.w yang merupakan seorang nabi dan rasul, maksum, iaitu terpelihara daripada dosa kecil dan besar dan dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t bertaubat 100 kali setiap hari. Adakah kita sebagai manusia yang tidak berupaya mengelakkan dosa ini, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan zina itu langsung tidak pernah bertaubat.

Berunding terlebih dahulu dengan pasangannya untuk bertaubat? Baginda ada bersabda, seperti yang tersebut dalam sebuah hadis riwayat daripada Ibn Abbas yang bermaksud: Binasalah orang yang menunda-nunda taubat.

Dalam surah an-Nur: 31 terdapat firman Allah yang bermaksud: Taubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang yang beriman, semoga kamu semua berbahagia.

Berdasarkan keterangan di atas saudari perlu taubat untuk mengatasi masalah yang dihadapi, iaitu dengan taubat nasuha seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, surah an-Nur: 31, al-Baqarah: 128, at-Tahrim: 8 dan lain-lain lagi.

Ketika bertaubat seseorang itu hendaklah menyesal terhadap dosa yang dilakukan, tidak mengulanginya dan memperbanyakkan ibadah kepada Allah.

Nabi s.a.w menjelaskan bahawa orang yang memohon keampunan kepada Allah dengan lisan, sedangkan dia terus-menerus melakukan dosa, ia adalah seumpama mengejek Tuhannya.

Ingatlah bahawa bertaubat bererti kembali kepada Allah. Segala permohonan keampunan dan azam tidak mengulangi dosa yang dilakukan merupakan kontrak antara seseorang hamba kepada Tuhannya.

Allah yang menguasai alam. Allah menghidup dan mematikan manusia, yang menguasai dunia dan akhirat juga hari kiamat. Beranikah manusia yang memahami hakikat Allah itu mengingkari janji-janjinya, pada hal dia tetap kembali kepada Tuhannya.

Nabi s.a.w menyuruh setiap orang agar memperbanyakkan zikir la ilaha illa llah, beristighfar, kerana iblis laknatullah itu berkata: Aku hancurkan manusia dengan dosa-dosa dan dengan bermacam-macam perbuatan derhaka, padahal mereka menghancurkan aku dengan kalimah la ilaha illa llah dan istighfar.

Maka tatkala aku melihat hal yang demikian itu, aku binasakan mereka dengan hawa nafsu sehingga mereka merasa bahawa diri mereka mendapat petunjuk, pada hal mereka sesat.

Hadis di atas menjelaskan jalan bagaimana iblis itu membinasakan manusia, iaitu melalui nafsu yang menyebabkan berlakunya zina dan sebagainya.

Akibat daripadanya ramai manusia yang merasa seronok lalu terus-menerus melakukan zina, menyebabkan manusia itu terus-menerus diuliti nafsu.

Untuk meneruskannya, manusia memberi banyak helah antaranya kerana cinta, takut pasangan lari dan sebagainya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak memahami konsep taubat, lalu tersemat pada pengamatan mereka bahawa taubat nasuha itu hanya sekali.

Kerana itu, sebelum menggunakan peluang yang diberi sekali dalam seumur hidup ini, manusia seperti ini akan mengumpulkan tenaga untuk melakukan dosa, termasuk dosa zina, kemudian baru menggunakan kemudahan taubat yang diberi hanya sekali tadi. Ini adalah satu pemahaman yang benar-benar mengelirukan dan menyimpang.

Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan bahawa Allah s.w.t telah berfirman: Wahai anak Adam, selagi engkau memohon dan menghadapkan Daku, Aku akan ampuni semua dosa. Aku tidak peduli banyak atau sedikit. Wahai anak Adam, kalau engkau datang kepada-Ku dengan dosa sebesar isi perut bumi lalu engkau menemuiku, sedangkan engkau tidak pernah menyekutukan Aku dengan sesuatupun, tentu Aku menjumpaimu dengan ampunan sebesar perut bumi pula - hadis riwayat at-Tirmizi

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4bNqJYJKM
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment