ARKIB : 17/08/2001
Oleh NOOR AZAM SHAIRI
(Wartawan Utusan)
SEPANJANG sebulan bermula hari
ini, kita diminta melupakan segala perbezaan agama, keturunan dan fahaman
politik bagi meraikan satu peristiwa besar negara dengan satu laungan yang
serupa, satu lagu yang senada dan satu bendera yang sama. Inilah Bulan Kemerdekaan;
inilah bulan persamaan.
Inilah masanya kita rakyat
negara bebas merdeka ini bersatu melaungkan semula kalimah keramat Merdeka,
menyanyikan dengan penuh semangat lagu Negaraku di bawah Jalur Gemilang yang
berkibar megah.
``Ketika kita masih saling
berbeza, kita sebenarnya masih ada persamaan,'' kata Menteri Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Sambutan Bulan Kemerdekaan
sehingga 17 September itu akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini di Dataran Merdeka.
Bahawa kita rakyat Malaysia
disatukan oleh tiga perkara itu - laungan Merdeka, lagu Negaraku dan bendera
Jalur Gemilang - adalah satu hakikat yang sudah tidak dapat ditolak lagi.
Tarikh 31 Ogos yang diraikan
setiap tahun adalah satu-satunya peristiwa negara yang melibatkan ketiga-tiga
perkara itu.
Laungan Merdeka adalah
kata-kata keramat yang menggantikan slogan Hidup Melayu sebagai tanda bahawa
masanya telah tiba bagi rakyat negara ini memperjuangkan kemerdekaan tanah air
daripada penjajah British.
``Ketika itu dirasakan bahawa
kita sudah ada kematangan politik, UMNO telah kuat dan perlu menerajui
perjuangan menuntut kemerdekaan,'' kata pensyarah sejarah, Dr. Ramlah Adam.
Membetulkan sesetengah tulisan
yang menyatakan bahawa Tunku Abdul Rahman yang memperkenalkan slogan itu,
Ramlah berkata, perkataan Merdeka itu diluluskan dalam Persidangan Agung UMNO
pada 26 Mac 1951 di Hotel Majestic Kuala Lumpur.
``Sejak hari itu, maka
berubahlah bentuk perjuangan orang Melayu di negara ini,'' katanya.
Slogan Hidup Melayu itu awalnya
digunakan sebagai pembakar semangat kepada orang Melayu menentang cubaan
British menukar Tanah Melayu menjadi negara jajahan mutlak dengan menyingkir
raja-raja Melayu di bawah gagasan Malayan Union.
Itu sejarah laungan Merdeka
yang pada awalnya digerakkan oleh UMNO, sebuah parti politik payung orang
Melayu. Sejarah bendera negara ini bagaimanapun bermula lebih awal sedikit
daripada itu.
Selepas gagasan Malayan Union
berjaya dipatahkan, kerajaan British telah bersetuju untuk menubuhkan
Persekutuan Tanah Melayu sebagaimana yang telah dipersetujui oleh para pemimpin
Melayu ketika itu.
Melalui satu perjanjian dengan
Majlis Raja-Raja, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada tahun 1949 bagi
menimbang dan membuat perakuan terhadap reka bentuk bendera itu.
Satu pertandingan telah
diadakan kemudiannya. Sebanyak 373 karyawan telah menghantar penyertaan tetapi
hanya tiga daripadanya masuk ke senarai akhir.
Reka bentuk pertama ialah
lambang keris bersilang di tengah-tengah dan dikelilingi oleh 11 bintang pecah
lima. Reka bentuk kedua hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun
dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga
ialah 11 jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna kuning di bahagian tepi
kiri.
Orang ramai kemudian dijemput
memberikan pandangan tentang ketiga-tiga reka bentuk itu oleh Majlis
Perundangan Persekutuan, dan akhirnya reka bentuk yang ketiga menjadi pilihan
majoriti. Reka bentuk itu adalah hasil ciptaan Mohamad Hamzah, seorang arkitek
dari Johor.
Beberapa pindaan bagaimanapun
telah dilakukan ke atas reka bentuk itu yang kemudiannya diperakukan oleh
Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 22 dan 23 Februari 1950.
Pada 19 April tahun yang sama,
satu usul telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan yang
menghuraikan reka bentuk bendera itu.
Oleh kerana negara ini ketika
itu masih lagi jajahan British, bendera itu perlu mendapat kelulusan daripada
King George VI, dan ia diberikan pada 19 Mei 1950.
Bendera Persekutuan Tanah
Melayu itu dikibarkan buat pertama kalinya dalam satu majlis menaikkan bendera
anjuran Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan
Selangor. Majlis bersejarah itu dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dan pegawai-
pegawai King George VI.
Reka bentuk bendera itu
kemudiannya dipinda menjadi seperti yang kita kenal hari ini apabila Sabah,
Sarawak dan Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk Malaysia
pada 16 September 1963.
Jalur dan bintang pecah sebelas
itu ditukar menjadi 14, dan kekal sehingga ke hari ini walaupun selepas
Singapura berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Dari segi zahirnya, bendera
hanya sebidang kain atau sehelai kertas tetapi ia mempunyai makna yang cukup
besar iaitu lambang kepimpinan dan kedaulatan, simbol penghormatan dan
perpaduan dan selebihnya, tanda perpaduan.
Setelah lebih empat dekad
berkibar tanpa nama, bendera keramat itu kemudiannya diberi nama Jalur Gemilang
pada malam ulang tahun kemerdekaan yang ke-40 pada tahun 1997.
Hari ini, Jalur Gemilang telah
menjelajah dan berkibar megah di serata dunia malah sampai ke tengah lautan dan
kemuncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Ketika sejarah dua perkara itu
_ laungan Merdeka dan Jalur Gemilang - tercatat dengan cukup jelas dan tidak
dipertikaikan, latar belakang lagu kebangsaan Negaraku pernah menjadi tumpuan
beberapa tahun lalu.
Dipersetujui
Secara umumnya, kita tahu
bahawa lagu itu asalnya daripada lagu kebangsaan negeri Perak. Hal itu telah
dipersetujui dan diluluskan oleh Dewan Negara Perak sendiri pada 17 Ogos 1957,
dengan syarat negeri itu dibenarkan menggunakan lagu yang sama sebagai lagu
kebangsaannya. Maka itulah lagu Allah Lanjutkan Usianya Sultan itu sama
rentaknya dengan lagu Negaraku.
Latar belakang dan asal-usul
lagu negeri Perak itulah yang kemudiannya menimbulkan kekeliruan tentang
asal-usul lagu Negaraku. Kekeliruan itu timbul apabila berbangkit cerita
tentang tuntutan royalti ke atas lagu Negaraku.
Ada yang mengatakan ia ciptaan
penggubah Perancis, Be'ranger yang hidup antara tahun 1780-1857. Lagu Ma
Rosalie itu dikatakan popular di Kepulauan Sychelles dan cukup disukai oleh Sultan
Abdullah, yang dibuang negeri oleh British kerana terlibat dalam pembunuhan
Residen Inggeris JWW Birch.
Ada juga pihak yang percaya
bahawa lagu negeri Perak itu asalnya lagu keroncong Sunda, Stambol Satoe yang
digunakan dalam bangsawan.
Walau apa pun versi ceritanya,
lagu negeri Perak yang terpilih itu sebenarnya mengetepikan lebih 100
penyertaan yang dihantar dalam pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Hadiah
yang ditawarkan ialah $10,000.
Sebenarnya 108 penyertaan yang
diterima dan 101 ditolak kerana tidak sesuai dan dikatakan kedengaran agak
kebaratan. Tunku yang mempengerusikan Lembaga Lagu-Lagu Kebangsaan Tanah Melayu
ketika itu mahu lagu yang berirama Melayu menjadi lagu rasmi negara.
Pada tahun 1993, lagu Negaraku
telah ditukar kepada rentak fast march yang dirasakan lebih dinamik dan
bersemangat, tanpa mengubah senikata asalnya.
Sepanjang sebulan mulai hari
ini, ketiga-tiga perkara itulah - laungan Merdeka, lagu Negaraku dan kibaran
Jalur Gemilang - yang akan menyatukan kita walau dalam apa juga perbezaan yang
ada.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4bj4ekz4o
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment