Ad

Monday 6 March 2017

Kelantan rampas teraju liga Perdana Dua

ARKIB : 15/07/2000
PENDAHULU bola sepak Liga Perdana Dua, Melaka terpaksa merelakan takhta yang dimiliki dirampas oleh pencabar terdekat Kelantan apabila skuad Kancil tewas 2-1 pada perlawanan menarik di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Annuar Abu Bakar menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit terakhir perlawanan, sekaligus menyumbang tiga mata untuk pasukannya megah di tangga teratas liga dengan 30 mata daripada 16 perlawanan.

Sebelum itu, Rajan Krishnen meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-56 menerusi satu tendangan volley yang cantik.

Tetapi Kelantan menyamakan kedudukan 20 minit kemudian selepas pemain Melaka, Shaiful Bahri Shahrum tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol pasukannya.

Dan Annuar, bekas pemain Johor menyumbat masuk gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan.

Sementara itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan tuan rumah NS Chempaka tewas 1-0 kepada Kedah.

Kemenangan pasukan pelawat disumbangkan oleh Tan Cheng Hoe pada minit ke-33 apabila merembat masuk bola hasil daripada sepakan sudut.

NS Chempaka walaupun mendapat jurulatih baru, G. Torairaju masih gagal melakukan serangan-serangan yang mampu menggugat kubu pasukan lawan.

Di Stadium Kubu, Telekom Melaka memperbaiki kedudukan di tangga terbawah liga apabila berjaya mengutip tiga mata selepas menundukkan pasukan pelawat, Johor FC 1-0.

Gol tunggal itu dijaringkan oleh V. Sellathurai pada minit 80 menerusi tendangan bebas dari jarak 25 meter yang gagal ditampan penjaga gol lawan, Shamsul Sabtu.

Di Stadium KLFA, Cheras,, KL Malay Mail semakin tenat untuk mengelak daripada tersingkir daripada Perdana Dua apabila tewas 1-0 kepada Tentera.

Tetapi jaringan S. Sangar pada minit ke-42 memberi peluang kepada Tentera untuk mengubah nasib mereka dalam kedudukan liga.

Kongsi Konten di :

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4aXvtY5Al © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment