Ad

Saturday, 11 March 2017

Kematangan Nasihin terbukti

ARKIB : 25/09/2000
SYDNEY - Dengan hanya melepaskan lima gol dari empat perlawanan sepanjang acara hoki pada Sukan Olimpik Sydney, Nasihin Nubli Ibrahim kini dianggap sebagai salah seorang pemain berkaliber tanpa menjejaskan reputasinya sebagai penjaga gol pertama negara.

Kehebatan dan kematangan Nasihin sudah terbukti.

Penuntut Sains Sukan UiTM ini beraksi cemerlang sewaktu Malaysia berdepan dengan empat pasukan gergasi dunia.

Nasihin, 25, hanya melepaskan satu gol sewaktu Malaysia tewas 0-1 pada perlawanan pembukaan menentang Jerman.

Malaysia seri 0-0 dengan juara dunia dan pemenang pingat emas di Atlanta, Belanda, seri 2-2 menentang Britain dan mengulangi kecemerlangan mereka apabila seri 2-2 ketika bertemu Pakistan dalam kumpulan A.

Semua pasukan lawan mempunyai rekod cemerlang berbanding Malaysia dalam sejarah Sukan Olimpik.

Britain sendiri pernah memenangi pingat emas di Olimpik Seoul 1988.

Di sebalik kehebatan pasukan lawan, prestasi Nasihin tidak sedikit pun luntur untuk mengawal pintu golnya.

Dia juga tidak mendabik dada walaupun menerima pujian menggunung daripada para pegawai berikutan aksi cemerlangnya menangkis serangan berbahaya pasukan lawan.

''Saya rasa pengalaman dan pendedahan banyak membantu keyakinan saya untuk menghadapi perlawanan sebesar ini,'' kata Nasihin yang sudah bermain 94 kali sejak mewakili negara tujuh tahun lalu.

Nasihin juga menganggap ini adalah barisan terbaik negara dapat dibentuk setanding dengan pasukan-pasukan lain.

''Persediaan pasukan negara untuk Olimpik ini cukup baik. Skuad ini telah mendapat pendedahan luas mengadakan lawatan ke Korea dan Eropah,''ceritanya.

''Saya cuma kecewa kemenangan kita sewaktu menentang Pakistan terlepas selepas Sohail Abbas menjaringkan gol penyamaan pada saat-saat akhir permainan,'' ujarnya.

Nasihin masih ingat ketika menentang Pakistan pada Kejohanan Piala Asia di Kuala Lumpur dengan kekalahan sudden death 2-1 tahun lalu. Sohail Abbas juga pemusnah kekalahan Malaysia.

''Sewaktu Sohail mengambil pukulan sudut penalti di sini kelmarin, saya menjangkakan Sohail sentiasa memukul ke arah sebelah kiri. Tetapi pada saat terakhir itu Sohail menukar taktik dengan menolak ke arah kanan,'' ujar Nasihin yang sudah dua kali bermain pada sukan Olimpik, dua Sukan Asia dan dua Sukan SEA.

''Cita-cita saya untuk beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara. Bagaimanapun hanya enam pasukan terbaik dalam Olimpik layak bertanding,'' katanya.

Peluang Malaysia masih ada untuk menduduki antara tempat ke-5 hingga 8 jika berjaya menewaskan Kanada pada perlawanan terakhir kumpulan.

Menurut Nasihin: ''Kami akan berusaha memberikan aksi terbaik meskipun Kanada diketahui memiliki hantaran jauh yang tepat dengan pemain pakar sudut penalti mereka, Peter Milkovich,'' kata Nasihin yang dijangka melengkapkan capnya yang ke-97 di Sydney. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b1XFM3s8 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment