Ad

Wednesday, 15 March 2017

FATWA AL-AZHAR ONLINE



ARKIB : 02/02/2001
SOALAN: Ibu saya selamat kembali ke rahmatullah pada awal bulan Ramadan lalu. Sebagai anak, saya berniat untuk menunaikan haji bagi pihak ibu saya. Masalahnya, saya sendiri belum lagi menunaikan haji bagi diri sendiri. Apa pandangan Islam dalam hal ini?

Ingin tahu,

Serdang, Selangor.

JAWAPAN: Semoga Allah mengurniakan rahmatnya kepada roh ibu saudara dan saudara sendiri kerana mempunyai niat yang baik untuknya. Keprihatinan yang saudara tunjukkan untuk kebaikan dan kesenangan ibu saudara selepas kematiannya mudah-mudahan mendapat pahala yang berlipat ganda daripada Allah s.w.t.

Berbalik kepada soalan saudara tadi, jawapannya ialah setiap orang Muslim yang ingin mengerjakan haji untuk orang lain sama ada keluarga atau saudara terdekat, tidak dapat tidak (mesti) menunaikan haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.

Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata (di sisi Kaabah); Aku datang menyahut seruan mu sebagai ganti kepada Syubrumah.

Lantas, baginda s.a.w bertanya, Siapa Syubrumah?. Jawab lelaki tadi, Saudara aku.

Nabi s.a.w kemudiannya bertanya, ``Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?. Jawabnya; Tidak.

Maka, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; Tunaikanlah haji untuk dirimu (dahulu), kemudian tunaikanlah haji untuk Syubrumah.

FATWA 2 : UNDI BUKAN ISLAM

SOALAN: Saya mewakili segelintir orang Islam yang tinggal dan menetap di negara bukan Islam ingin mengetahui hukum agama sekiranya kami terlibat dalam pilihan raya dan pengundian parti bukan Islam di negara berkenaan.

Musafir,

Batu Pahat, Johor.

JAWAPAN: Masalah yang dikemukakan oleh saudara adalah masalah fatwa yang mempunyai hukum berlainan bergantung kepada masa, tempat dan keadaan semasa.

Dengan kata lain, masalah ini tidak mempunyai hukum umum yang meliputi semua kejadian-kejadian yang telah, sedang dan akan berlaku.

Lebih lanjut, ada sesetengah keadaan di mana orang Islam tidak harus keluar mengundi. Sebagai contoh, sekiranya pengundian itu tidak memberi sebarang kesan ke atas orang Islam atau orang Islam tidak mendapat faedah serta kesan baik daripada pengundian tersebut.

Namun, kadang-kadang, demi kemaslahatan dan kepentingan syari'e, undian kaum Muslimin adalah dituntut bagi mengurangkan keburukan dan kemudaratan.

Sebagai contoh, sekiranya calon-calon yang bertanding terdiri daripada orang bukan Islam tetapi salah seorang daripada mereka kurang bermusuh dengan Islam berbanding calon lain.

Dalam situasi begini, undian orang Islam mempunyai kesan-kesannya pada masa hadapan, maka tidak salah sekiranya dia membuang undi dalam keadaan ini.

Bagaimanapun, permasalahan ini adalah masalah ijtihad yang dibina di atas asas kemaslahatan dan keburukan, yang harus dirujuk kepada golongan alim ulama untuk menetapkan kaedah-kaedah yang boleh diguna pakai.

Antaranya, ialah membentangkan kepada ulama-ulama tadi maklumat-maklumat terperinci mengenai keadaan negara berkenaan, undang-undang, hal ehwal calon bertanding, kepentingan mengundi dan sebagainya.

Kesimpulannya, tidak harus kita meragui seseorang yang membolehkan pengundian itu dan menuduhnya sebagai pendukung kepada golongan bukan Islam.

Sesungguhnya, semua itu adalah untuk kemaslahatan dan kebaikan umat Islam, bukannya sebagai tanda kasih sayang mereka kepada orang kafir.

SUMBER: Dar al-Ifta' al-Misriah

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4bNkFJWdh
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment