Ad

Wednesday, 15 March 2017

Timbang baik buruk pindah Zoo Negara



ARKIB : 09/02/2001
KALAU mengikut laporan akhbar baru-baru ini, pemindahan Zoo Negara di Hulu Klang ke satu tapak baru hampir pasti menjadi kenyataan.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Law Hieng Ding baru-baru ini pada majlis pelancaran Taman Wetland Putrajaya dipetik berkata, keputusan pemindahan itu akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

Kata beliau, kajian kebolehlaksanaan ke atas lima tapak yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Selangor sudah hampir siap.

Sehari selepas kenyataan Law itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohamad Khir Toyo mengesahkan bahawa Zoo Negara di Hulu Klang akan dipindahkan ke satu kawasan antara Sepang dan Banting.

Alasan yang diberikan oleh Menteri Besar itu ialah kawasan sedia ada akan dibangunkan untuk tapak perumahan.

Katanya, Zoo Negara sudah tidak sesuai berada Hulu Klang kerana ia terletak hampir dengan kawasan perumahan.

Alasan bahawa zoo itu sudah tidak sesuai kerana dekat dengan kawasan perumahan mungkin bukan satu alasan yang baik. Soalnya, siapa yang dulu duduk di situ - zoo atau rumah orang?

Sudah semestinya, kawasan perumahan kerana tentulah kawasan itu tidak dipilih sebagai tapak Zoo Negara hampir 38 tahun yang lalu kalau di Hulu Klang itu sudah sesak dengan pembangunan.

Oleh itu, saya berpendapat isu pemindahan zoo ini adalah satu ujian sebenar sejauh mana kepekaan dan kefahaman kita tentang masalah dan semangat zaman ini.

Kita sekarang berada di abad ke-21, satu zaman yang pernah diungkapkan sebagai saat paling mencabar kepada kehidupan manusia.

Manusia kini berada di persimpangan antara pembangunan yang perlu diteruskan dan kesejahteraan alam sekitar yang harus dipertahan.

Sedikit saja kesilapan, padahnya akan ditanggung oleh anak cucu kita pada masa akan datang.

Itulah cabarannya menjadi warga abad ke-21 ini. Cabaran itu menjadi lebih besar kerana masyarakat hari ni umumnya sudah mempunyai kepekaan yang agak baik tentang pentingnya memelihara alam sekitar.

Dan isu pemindahan Zoo Negara dari Hulu Klang ke satu kawasan lain antara Sepang dan Banting itu juga menghadapkan kepada kita persoalan yang serupa. Mana yang hendak kita dulukan, pembangunan atau alam sekitar?

Sudah banyak yang diperkatakan tentang baik buruk pemindahan zoo yang telah beroperasi hampir 40 tahun itu. Ada yang menyokongnya dan ada juga yang tidak bersetuju.

Mereka yang tidak bersetuju memberi alasan proses pemindahan itu akan menelan belanja yang besar dan mengambil masa yang agak panjang.

Kalau itu alasannya, pihak yang bersetuju menjawab: ``Berapa saja wang yang diperlukan boleh disediakan, berapa lama masa yang diambil, kita boleh tunggu.''

Pandangan mereka itu boleh kita fahami kerana dikatakan harga tanah di sekitar kawasan Zoo Negara itu sekarang sudah mencecah sehingga RM100 setiap satu kaki persegi.

Dalam satu laporan baru-baru ini, ada disebut bahawa sudah ada pihak yang menenang mahu menjadikan tapak zoo itu sebagai kawasan perumahan, padang golf dan pusat membeli-belah.

Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak pula mengingatkan tentang ancaman perpindahan itu kepada nyawa haiwan-haiwan yang akan terlibat.

Kata mereka, haiwan-haiwan itu mungkin akan mati kerana menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Kalau betul apa yang dikatakan oleh pakar-pakar itu, isu pemindahan ini sudah jadi isu pemuliharaan alam sekitar yang serius. Ini bukan isu mempertahankan sebuah kawasan kerana semangat sentimental. Ini isu menyelamatkan warisan alam sedang menghadapi bahaya kepupusan.

Isu pemindahan Zoo Negara ini sebenarnya bukan isu baru. Ia telah mula didengar sejak tahun 1995. Tetapi sehingga sekarang masih belum ada sebarang kata pasti.

Saya berpendapat menangani isu dan kesedaran zaman baru seperti pemindahan Zoo Negara ini barangkali memerlukan cara dan gaya yang sesuai dengan semangat zaman ini.

Ada baiknya kalau diadakan penglibatan daripada masyarakat.

Pandangan orang ramai khususnya pendapat pakar harus dirujuk dan diambil kira secara serius, dan bukannya sekadar bertanyakan pendapat dan kemudiannya mengabaikannya langsung.

Isu pemindahan Zoo Negara ini juga wajar menjadi ingatan kepada semua pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri yang berkuasa ke atas pembangunan tanah tentang pengurusan yang baik dan terancang.

Dalam hal itu, saya percaya ada baiknya kalau tapak zoo sedia di Hulu Klang itu dikekalkan kerana faktor kos pemindahan yang mungkin tinggi, memakan masa yang panjang, berisiko besar serta mengganggu perancangan pembangunannya.

Ada baiknya kalau tapak yang sudah dikenal pasti oleh kerajaan negeri itu dibangunkan saja menjadi zoo baru yang lebih besar dan mempunyai konsep yang berbeza dengan Zoo Negara sekarang.

Tentulah tidak salah kalau kita ada banyak zoo dan memberi perhatian lebih kepada pemuliharaan haiwan yang menghadapi ancaman kepupusan.

Kalau kos yang menjadi masalah, barangkali inilah satu lagi ruang penglibatan semua pihak - kerajaan, swasta dan masyarakat - dalam memelihara warisan untuk generasi akan datang. - OMAR SALIM, Ampang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4bOENZ1RC
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment