Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
ASHARI (belakang) dan Alves masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu Pahang menewaskan PKNS di Kuantan kelmarin.
KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui gembira menyaksikan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin kembali mempamerkan prestasi terbaik selepas bekas pemenang Anugerah Kasut Emas 2010 itu mencetak gol ketiga ketika membantu skuad Tok Gajah menumpaskan PKNS FC 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
Menurut Dollah, bekas tonggak Terengganu itu sebelum ini dilihat bergelut memulihkan prestasi sejak menyarung jersi Pahang pada awal saingan Liga Super 2017, namun kebangkitan yang dipamerkan Ashari ketika menewaskan PKNS kelmarin ternyata membuktikan pemain itu masih layak digelar The Silent Killer.
“Penjaga gol, Azraie (Wan Muhamad Azraie Wan Teh) banyak memainkan peranan untuk menyelamatkan keadaan ketika diasak serangan PKNS pada separuh masa pertama.
“Pada separuh masa kedua, Pahang berjaya menguasai keseluruhan permainan yang merupakan hasil daripada aksi konsisten dipamerkan semua pemain.
“Saya lihat Ashari juga sudah kembali mendapat rentak terbaik pada perlawanan malam ini (kelmarin), begitu juga dengan Joseph Kallang Tie yang sebelum ini gagal mempamerkan gaya permainan seperti diharapkan,” ujar Dollah ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Pada saingan itu, Ashari melengkapkan gol ketiga selepas menerima hantaran daripada pemain sayap kiri, Ahmad Syamim Yahya ketika perlawanan memasuki minit ke-70.
Terdahulu, Pahang meraih gol pertama pada minit ke-12 yang disudahkan pemain pertahanan, Mohd. Afif Kamarudin dan disusuli jaringan kedua disempurnakan Matheus Alves Leandro menerusi sepakan penalti (m-58) sejurus Mohamadou Sumareh dikasari di hadapan gawang PKNS.
Mengulas lanjut, Dollah menambah, Ashari yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki 2010 bersama skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga diyakini mampu memberi lebih banyak impak buat Pahang menjelang saingan seterusnya.
“Kalau ditetapkan (konsisten) dengan prestasi seperti itu, saya yakin akan ada lebih banyak peluang menjaringkan gol yang boleh dicipta (Ashari) pada perlawanan seterusnya.
“Dengan kelebihan dimiliki Pahang menerusi Sumareh dan Alves, saya yakin para pemain (termasuk Ashari) mampu terus memastikan Pahang mendapat tiga mata pada setiap perlawanan,” kata Dollah.
Sebagai rekod, Ashari mencetak pencapaian terbaik pada 2011 apabila berjaya membantu Terengganu menjulang Piala FA serta meraih gelaran naib juara bagi kempen Liga Super dan Piala Malaysia
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4aAOxntu8 Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment