Ad

Thursday 2 March 2017

Hatrik Ghaddar benam Bos Gaurus

Zaquan Adha (kiri) cuba melarikan bola dari pemain Kelantan. FOTO BERNAMA
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Penyerang import Kelantan, Mohammad Ghaddar menjadi wira pasukan apabila menjaringkan hatrik menewaskan tuan rumah Perak 2-4 di Stadium Perak di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus masih gagal memperoleh kemenangan selepas Mehmet Durakovic mengambil alih pasukan dari Ketua Jurulatih Karl Heinz Weigang.


Tuan rumah mempamerkan permainan menarik pada babak pertama perlawanan apabila mengasak pintu gol tuan rumah pada minit pertama perlawanan namun sepakan deras Mohd Zaquan Adha Abdul Razak tersasar ke sebelah kanan pintu gol.

Perak terus memberikan tekanan pada pasukan pelawat dengan percubaan menarik pada minit ke-6 perlawanan namun pemain import, Yashmir Armando Pinto Islame gagal menyudahkan peluang terhidang selepas menerima hantaran Mohd Nazrin Mohd Nawi.

Akhirnya, pada minit ke-17, penyerang import Perak, Vladislav Mitkov Mirchev menggamatkan stadium selepas berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik selepas menerima hantaran silang dari Mohd Zaquan menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong Perak tidak bertahan lama apabila penyerang import Kelantan, Mohamad Ghaddar merembat deras bola selepas hanya berhadapan dengan penjaga gol tuan rumah pada minit ke-37 menjadikan kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pasukan pelawat mula memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya Mohammad Ghaddar berjaya menjaringkan gol kedua m-82.

Pada minit ke-86, Mohamad Ghaddar sekali lagi berjaya menjaringkan gol sekaligus mencipta hatrik menerusi sepakan penalti selepas Mohd Danial Ashraf Abdullah dijatuhkan pertahanan lawan di dalam kotak penalti menjadikan kedudukan 3-1.

Tuan rumah kemudiannya berjaya merapatkan kedudukan menerusi rembatan cantik Vladislav Mitkov Mirchev pada minit ke-90.

Pemain paling senior dalam padang, Indra Putra Mahayuddin melengkapkan episod gembira Kelantan dengan jaringan pada masa kecederaan menerusi rembatan deras selepas berjaya melepasi pertahanan lawan.

Kedudukan 2-4 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:34 PM

No comments:

Post a Comment