ARKIB : 22/05/2002
Pengurus Besar Kanan Pemasaran
TV3, Joe D'Silva berkata, sebanyak 29 siaran langsung, satu siaran tertunda dan
30 rakaman sorotan khas akan disajikan untuk tontonan peminat bola sepak di
seluruh negara mulai 31 Mei hingga 30 Jun ini.
Menurut beliau, semua rancangan
itu termasuklah sebanyak 21 perlawanan secara langsung semasa peringkat
pertama, tiga perlawanan peringkat kedua, dua perlawanan suku akhir, satu
perlawanan separuh akhir, perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat serta
perlawanan akhir.
``Melalui kempen Segalanya Bola,
TV3 akan menyiarkan jumlah perlawanan langsung terbanyak jika dibandingkan
dengan stesen televisyen tempatan lain.
``Ini merupakan satu sumbangan
kami kepada semua peminat yang menyokong kami sejak 18 tahun lalu,'' katanya
dalam satu kenyataannya di sini.
Beliau berkata, Segalanya Bola
merupakan satu aktiviti khas menampilkan pelbagai aspek tentang bola sepak.
Tambah D'Silva, beberapa pengulas
sukan terkenal seperti Datuk Rahim Razali dan Sherkawi Jirim, Ronald Smith dan
Allan Harris akan memberi liputan mengenai siaran berkenaan.
Sebelum ini, mulai 18 April lalu
TV3 menyiarkan sebanyak lapan episod Road To Asia yang membincang dan mengulas
tentang dunia bola sepak hari ini.
Merancakkan lagi kemeriahan itu,
TV3 turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pemenang yang
menyertai peraduan laman web khas di alamat www.tv3.com.my/worldcup 2002.
Sehubungan itu, TV3 juga katanya
turut menyenaraikan beberapa aktiviti menarik seperti Karnival Rakan Muda 2002
yang akan diadakan di lapan buah lokasi di seluruh negara.
``Satu fiesta khas akan diadakan
pada awal bulan Jun di Sri Pentas menampilkan pelbagai aktiviti yang berkaitan
dengan bola sepak dan boleh disertai oleh semua golongan,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cCJN8bvV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment