ARKIB : 12/07/2000
JKR KELANTAN menundukkan pendahulu, Kelantan 3-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamed ke-IV di Kota Bharu, semalam.
Dengan keputusan itu, Kelantan jatuh ke tangga kedua liga yang diambil alih oleh Melaka yang menang 4-1 di Stadium Kubu.
Dua jaringan menerusi ketua pasukan JKR Kelantan, Roslan Hassan nyata membawa kesan positif kepada permainan pasukan tuan rumah itu yang berjaya bertahan dari asakan-asakan Kelantan yang cuba bangkit pada separuh kedua.
JKR Kelantan bertindak garang sebaik wisel pertama ditiupkan dan Roslan yang mendapat peluang di hadapan pintu gol tidak mensia-siakan untuk menghasilkan gol pada seawal minit pertama.
Kelantan terus dihukum apabila Roslan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menghasilkan gol kedua apabila menolak masuk bola setelah berlaku perebutan di hadapan pintu gol lawan pada minit ke-24.
Bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha menambah sengsara Kelantan apabila menambah gol ketiga pada minit ke-28 hasil sepakan percuma dari sebelah kanan pintu gol.
Kelantan yang ketinggalan cuba bangkit dengan asakan bertali arus, tetapi beberapa percubaan penyerangnya tersasar termasuk tandukan Mohd. Hardi Ahmad pada minit ke-40 yang terkena palang.
Usaha Kelantan akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-60 hasil jaringan bekas pemain Johor, Anuar Abu Bakar.
Sementara itu, nasib menyebelahi TNB Kelantan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL Malay Mail di Stadium KLFA, Cheras.
Jaringan tunggal Zakri Bidi pada minit ke-69 sudah cukup buat pasukan pelawat mencatat kemenangan kelima daripada 15 perlawanan sekali gus melonjak ke tangga kelima liga.
KL Malay Mail harus mempersalahkan diri sendiri ekoran gagal mengutip mata penuh di gelanggang sendiri setelah menguasai hampir kesemua babak perlawanan tetapi dikecewakan ekoran tindakan penyudah yang tidak sempurna.
Zakri menghukum kelalaian pertahanan tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gol M. Pavalamani dari jarak dekat dengan rembatan leret yang kencang setelah menerima hantaran lambung dari tengah padang.
Kekalahan itu juga menyebabkan KL Malay Mail merosot ke tangga kedua tercorot dengan perbezaan satu mata di atas Telekom Melaka pada ketika perlawanan liga berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.
Sementara itu, Brunei hanya seri 2-2 dengan Perlis walaupun mendahului 2-0 pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan.
Tuan rumah yang berhajat memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga, memulakan permainan dengan baik apabila mendahului menerusi jaringan Awangku Sallehuddin pada minit ke-37 dan Abang Norsilmmy Taha dua minit kemudian.
Namun, Perlis yang tidak patah semangat terus berjuang untuk menghasilkan gol pada babak kedua dan tanda-tanda kebangkitan skuad Singa Utara bermula apabila G. Shanmugam merapatkan jurang gol menerusi jaringan pada minit ke-76.
Jaringan semangat itu menambah garang Perlis yang berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-90 menerusi percubaan Farouk Ismail pada minit ke-90.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4aO8M2VgA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment