Ad

Tuesday 21 March 2017

Fatwa wajib zakat pendapatan diwarta



ARKIB : 07/03/2002
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK
KUALA LUMPUR 6 Mac - Kerajaan akan mewartakan fatwa bagi mewajibkan umat Islam di seluruh negara yang berpendapatan bulanan membayar zakat pendapatan seperti yang telah dipersetujui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, langkah itu bagi menyelaraskan peraturan pembayaran zakat pendapatan yang kini ditadbir di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, walaupun tiada peruntukan yang jelas dalam al-Quran dan kitab-kitab agama mengenai kewajipan membayar zakat pendapatan tetapi Majlis Fatwa telah membuat keputusan mewajibkannya berdasarkan perkembangan semasa di negara ini.

``Di negara kita, orang termiskin iaitu penanam padi perlu membayar zakat tetapi mereka yang kaya dan mempunyai pendapatan bulanan tidak diwajibkan berbuat demikian.

``Sedangkan Nabi sendiri pernah bersabda yang bermaksud, ambillah daripada yang kaya dan agihkan kepada yang miskin,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan seseorang Islam yang membayar zakat pendapatan boleh dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan bagi tahun berkenaan sebagai jumlah yang telah dizakatkan.

Seksyen 6A (30) mensyaratkan mereka yang membayar zakat pendapatan supaya menyerahkan surat akuan pembayaran zakat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehingga kini hanya beberapa negeri termasuk Melaka telah mewartakan fatwa mewajibkan pembayaran zakat pendapatan dan urusan pembayaran diuruskan oleh Pusat Pungutan Zakat negeri berkenaan.

Ditanya bilakah langkah mewajibkan umat Islam di negara ini membayar zakat pendapatan dapat dilaksanakan, katanya, rundingan dengan LHDN sedang dijalankan supaya proses pembayaran dapat berjalan lancar.

Beliau tidak menolak kemungkinan zakat pendapatan akan dibayar menerusi potongan gaji pada kadar yang telah ditetapkan iaitu 2.5 peratus daripada pendapatan setelah ditolak semua keperluan.

Isu pembayaran zakat pendapatan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam berikutan ketiadaan nas yang jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran, hadis mahu pun kitab-kitab agama.

Secara dasarnya menurut ijmak ulama hanya gaji yang disimpan hingga mencukupi kadar nilai 85 gram emas bersamaan RM3,000 dan genap haul 354 hari diwajibkan zakat iaitu sebanyak 1/40 atau 2.5 peratus.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4bxWz1BqG© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment