ARKIB : 23/08/2001
Oleh: MAZRI MUHAMMAD
PADA tiap-tiap 31 Ogos setiap
tahun semenjak 1957 rakyat Malaysia tanpa gagal meraikan sambutan tercapainya
kemerdekaan negara. Setelah empat puluh empat kali kita meraikannya ternampak
ia telah berubah menjadi satu acara keraiaan yang biasa kita lakukan saban
tahun secara automatik pada tarikh tersebut tanpa wujud sebarang keghairahan
lagi terhadapnya.
Setiap tahun pada tarikh tersebut
kita akan mengadakan acara dengan menu yang lebih kurang sama isinya walaupun
mungkin berbeza variasi.
Mungkinkah signifikan hari
keramat negara ini sudah pudar kepada rakyat Malaysia sebagaimana pudarnya
patriotisme kita?
Tidak dinafikan jika kita
melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali kita mungkin akan menjadi
bertambah cekap di dalam melakukannya tetapi mungkin keghairahan kita terhadap
perkara tersebut akan semakin pudar dan menurun.
Berlatarbelakangkan hakikat ini
di samping dengan pertumbuhan rancak ekonomi negara sebelum kita dijangkiti
krisis ekonomi Asia pada pertengahan tahun 1997 yang telah melahirkan
kemakmuran dan kemewahan mungkinkah kita telah alpa atau mengambil mudah
tentang kesuburan semangat patriotisme kita ini.
Lebih empat dekad yang lalu
para patriot negara yang dipimpin oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah
menjadi bidan kepada kelahiran Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya Malaysia
yang merdeka dan berdaulat.
Sebelum Perang Dunia Kedua
tiada entiti bersatu yang dinamakan Malaya, yang wujud adalah sebelas buah
negeri dengan corak pemerintahan mereka masing-masing iaitu Negeri-Negeri
Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Selepas perang, Britian telah
cuba memperkenalkan Malayan Union yang cuba mengukuhkan penjajahan Britian. Ia
telah mendapat tentangan hebat orang Melayu. Orang Melayu yang sebelum ini
tidak pernah bersatu secara kebangsaan telah pun bersatu di bawah UMNO. Hasil
perpaduan orang Melayu ini maka Malayan Union telah digantikan dengan
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Apabila Almarhum Tunku
mengambil alih kepemimpinan UMNO daripada Datuk Onn pada tahun 1951 beliau
bersama timbalannya Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengadakan kerjasama
dengan parti orang Cina MCA dan parti orang India MIC dengan penubuhan Parti
Perikatan.
Pada tahun 1955 apabila pilihan
raya pertama diadakan bagi memilih majoriti ahli Majlis Perundangan
Persekutuan, Perikatan telah berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi. Britian yang
mengadakan pilihan raya ini dalam rangka kempen memenangi hati dan fikiran
rakyat bagi menghadapi pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dihadapi
sejak tahun 1948 telah tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk melambat atau
menafikan kemerdekaan kepada Malaya.
Generasi Tunku dan Tun Razak
merupakan generasi pramerdeka yang meneraju negara kita semenjak merdeka. Ini
dapat dilihat apabila kesemua kepemimpinan negara setakat ini lahir dari
generasi ini. Almarhum Tunku dilahirkan pada tahun 1903, Allahyarham Tun Abdul
Razak pada tahun 1922, Allahyarham Tun Hussein pada tahun 1922 manakala Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada tahun 1925.
Keempat-empat pemimpin negara
ini merupakan mereka yang pernah merasai keperitan hidup di bawah penjajahan asing
dan keperitan memperjuangkan kemerdekaan begitu juga dengan generasi mereka.
Hari ini generasi pramerdeka
sedang diganti generasi pascamerdeka di dalam semua sektor kehidupan. Satu
kesan dari proses tersebut ialah kepekaan terhadap keperitan hidup terjajah dan
perjuangan mencapai kemerdekaan serta penghargaan terhadapnya semakin menurun.
Untuk melihat bagaimana
fenomena ini berlangsung mari kita lihat contoh di dalam sektor awam yang umur
bersaranya 56 tahun. Pada tahun 2001 ini misalnya kakitangan awam yang
dilahirkan pada tahun 1946 dan memilih untuk tidak melanjutkan perkhidmatan
mereka selama setahun lagi akan mencapai umur persaraan wajib lalu menamatkan
perkhidmatan mereka.
Kenapakah fakta ini signifikan?
Jawapannya adalah kerana pertama ia menandakan permulaan persaraan generasi
pascaperang dunia kedua dari arena kepemimpinaan sektor awam. Mereka merupakan
generasi terakhir yang pernah merasai berada di bawah penjajahan asing walaupun
mereka tidak ikut menentangnya kerana masih anak-anak.
Kedua, kerana generasi pasca
merdeka pada masa hadapan adalah mereka yang akan mempunyai tasawur yang
berbeza dengan generasi pramerdeka. Mereka tidak lagi terhimbau dengan
perjuangan mencapai kemerdekaan dari kolonialisasi asing.
Sudah tentu seseorang yang tidak
pernah menyayikan lagu kebangsaan Great Britain, God Save the Queen dan berdiri
tegak di hadapan bendera Union Jack akan merasa kurang terhimbau terhadap
bahaya penjajahan kerana mereka tidak pernah merasainya.
Pengetahuan yang mereka peroleh
adalah dari sekolah, buku-buku atau dengan mendengar cerita orang tua bukannya
secara lansung. Hakikatnya mereka yang dilahirkan pada tahun 1951 tidak pernah
menyanyikan lagu kebangsaan Inggeris atau memberi hormat kepada bendera
Inggeris di sekolah kerana mereka memasuki tahun satu pada tahun 1958 selepas
negara sudah merdeka.
Hari ini mereka sedang memegang
jawatan kanan di dalam perkhidmatan awam termasuklah di dalam dunia akademik.
Pada tahun 2013/2014 kelak jika tidak ada lagi peningkatan terhadap umur persaraan
maka kumpulan pertama generasi kelahiran pascamerdeka akan mula bersara dari
perkhidmatan awam.
Ia menandakan tidak ada lagi
pelaksana dasar dan kemungkinan pembuat dasar yang terdiri dari generasi
pramerdeka.
Adakah pada waktu itu rakyat
Malaysia sudah tidak hiraukan lagi keperluan kepada menyuburkan semangat
kemerdekaan mereka jika arah aliran yang berlaku hari ini berterusan tanpa
usaha pembaikan.
Oleh itu amat penting diambang
kita meraikan hari keramat ini untuk kali ke-44 kita memikirkan kaedah baru
bagi menyemarakkan semangat patriotisme generasi pasca merdeka ini.
Kemungkinan cara melahirkan
penghayatan patriotisme yang terdahulu tidak lagi dapat menghimbau patriotisme
generasi pascamerdeka kerana generasi ini tidak tersentuh oleh faktor-faktor
yang sama dengan generasi terdahulu.
Kita perlu merenung semula
apakah signifikan hari kemerdekaan ini kepada kita dan negara serta kenapakah
para patriot negara terdahulu sanggup mengorbankan jiwa raga, harta benda dan
keselesaan hidup mereka bagi mencapai, mengisi dan memelihara kemerdekaan
tersebut.
Kenapakah Tunku dan Tun Abdul
Razak - kedua-duanya golongan bangsawan dan lulusan profesional - sanggup
terjun ke kancah perjuangan politik yang mendedahkan mereka kepada
bermacam-macam risiko. Mereka boleh hidup senang dan aman jika mereka tidak
berjuang menentang Britian untuk kemerdekaan.
Kenapakah pula patriot negara
yang memakai uniform pasukan keselamatan negara sanggup mengorbankan nyawa
mereka menentang pemberontakan PKM dan lain-lain musuh negara dahulu. Mereka
sanggup meninggalkan isteri mereka menjadi balu dan anak-anak mereka menjadi
yatim. Adakah semata-mata kerana gaji tidak seberapa yang diterima?
Jawapannya ialah kerana cinta
dan kasihnya mereka kepada tanah air; demi kerananya mereka sanggup berkorban
apa sahaja dan tidak mengharapkan balasan kebendaan mahupun pengiktirafan
sesiapa.
Tunku dan Tun Abdul Razak tidak
meninggalkan harta benda dengan banyak kepada waris mereka berbanding jika
mereka mengamalkan profesion undang-undang. Malah Tunku semasa berjuang
mencapai kemerdekaan telah membelanjakan harta benda peribadinya pula untuk
perjuangan manakala Tun Abdul Razak semasa kembali ke rahmatullah tidak
mempunyai kediaman peribadi kecuali rumah rasminya Seri Taman. Patriotisme
mereka ini perlu dicontohi, disemai dan disuburkan di dalam setiap dada
putera-puteri merdeka.
Mungkin sudah tiba masanya kita
lebih serius di dalam menanamkan semangat patriotisme kepada generasi muda.
Dalam kehidupan kita bernegara tidak ada dokumen yang lebih penting daripada
Perlembagaan Persekutuan kerana berasaskan kerangka yang terhasil dari perkara
dan fasal di dalamnya negara ini telah terbentuk, berjalan dan berkembang. Ia
merupakan satu dokumen yang menggariskan tanggungjawab dan hak negara serta
rakyat malahan ia merupakan manifestasi kontrak sosial rakyat majmuk Malaysia.
Kegagalan memahami dan
menghayati perlembagaan serta falsafah, semangat dan tolak ansur dibelakang
penggubalannya telah menyebabkan masalah kepada negara seperti kewujudan
ketegangan di dalam perhubungan kaum di Malaysia dan wujudnya cubaan untuk
menggantikan perlembagaan yang sedia ada kepada satu perlembagaan yang bersifat
teokratik. Kedua- dua gejala ini jika tidak dibanteras boleh membawa kepada
kehancuran negara Malaysia yang tercinta.
Oleh itu cadangan supaya
perlembagaan diajar di peringkat sekolah merupakan idea yang sepatutnya
diterokai dan dikaji. Bagaimanapun tidak perlulah pengajaran perlembagaan di
peringkat sekolah dijalankan seteliti seperti pengajian kursus undang-undang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4bjbFhtLX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment