Ad

Thursday, 23 March 2017

Buktikan kita masih hebat



ARKIB : 22/04/2002

Bicara Tekong oleh KHALID SAAD
SEDAR atau tidak, kejohanan Badminton Piala Thomas akan `hadir' terlebih dahulu sebelum pusingan akhir bola sepak Piala Dunia.

Namun kesibukan mengikuti perkembangan terbaru pasukan-pasukan yang akan bertanding pada kejohanan pertama di Asia itu membuatkan kita semua hampir terlupa bahawa pasukan negara ada tugas besar.

Mungkin kebanyakan peminat juga tertumpu kepada Piala Dunia di Jepun dan Korea Selatan yang akan berlangsung penghujung Mei ini meskipun Malaysia masih belum berpeluang menyertainya.

Kejohanan bola sepak terbesar dunia itu akan berlangsung selama sebulan. Yang menariknya ia buat julung kalinya diadakan di Asia dan kali pertama dianjurkan secara bersama oleh dua buah negara.

Apapun, Tekong percaya seperti bola sepak, badminton juga mempunyai kelas yang tersendiri.

Piala Thomas juga merupakan kejuaraan berprestij dunia, cuma pengikutnya tidak menyeluruh atau ramai seperti bola sepak.

Dan tentunya kita boleh berbangga kerana berada dalam senarai pasukan yang bersaing dalam kejohanan badminton di Guangzhou itu pada 9-19 Mei ini.

Bercerita tentang Piala Thomas, rasanya sudah lama juga pemain kita tidak memegang trofi perak itu.

Tekong masih ingat, bagaimana kita berjaya memenangi Piala Thomas pada 1992 dahulu.

Ia diraikan seluruh negara meskipun kejayaan itu dicapai tepat jam 12.36 pagi sekali gus mengakhiri penantian Malaysia selama 25 tahun.

Malangnya sudah 10 tahun kenangan manis itu berlalu. Nama-nama seperti Rashid, Razif dan Jalani Sidek, Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang yang menumbangkan kehebatan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir seakan semakin dilupakan.

Kini, kejohanan itu kembali berlangsung di Guangzhou tetapi keghairahannya agak berkurangan.

Yang jelas, peluang kita untuk mara ke separuh akhir tetap ada berdasarkan kedudukan dalam kumpulan B bersama penyandang juara, Indonesia, Thailand dan Jerman.

Cuma tidak jelas apakah pasukan ini mampu melakukan kejutan lebih besar daripada itu untuk mengakhiri kemarau selama 10 tahun.

Dengan menggunakan khidmat serta kepakaran dua jurulatih ternama, Park Joo-Bong dari Korea Selatan dan Pak Indra (Indra Gunawan) dari Indonesia kita tentunya mengharapkan sesuatu yang baik di Guangzhou nanti.

Yang Tekong bimbang sekarang ini cuma kurangnya kempen pembakar semangat untuk pemain seperti yang dilakukan pada 1992 yang lalu.

Dulu kita sibuk dengan kempen `Malaysia Boleh' tetapi kini kita semacam tidak ada keberanian untuk bersuara dan mengatakan pasukan kita mampu untuk membawa pulang Piala Thomas.

Untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) segeralah mengatur kempen atau sesi motivasi yang mampu membakar semangat pemain agar saingan kita kali ini lebih bermakna.

Janganlah hanya berserah dan menganggap jika ditakdirkan menang pada separuh akhir nanti ia hanya satu bonus.

Buktikan kepada dunia bahawa Malaysia masih menjadi negara yang perlu digeruni dalam sukan badminton.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c8j8yIjC© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment