ARKIB : 15/03/2003
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
BAGI generasi muda, bekas
Juruiring Tentera kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ini
mungkin agak kurang dikenali. Tetapi di kalangan generasi lama, namanya agak
harum terutama kepada mereka yang pernah berkhidmat dalam Tentera Darat.
Biarpun begitu, tidak banyak
kisah perjuangannya yang diketahui umum kecuali mengenai penglibatannya dalam
sambutan kemerdekaan negara.
Sedangkan hakikatnya, tokoh ini
merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Angkatan Tentera MALAYSIA (ATM)
apatah lagi pernah berjuang dalam tiga zaman berbeza.
Bermula dengan penjajahan
British, lelaki yang telah berusia 83 tahun ini turut terbabit menentang
pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, membina semula Rejimen Askar Melayu
selepas perang berakhir di samping menentang pemberontakan komunis.
Biarpun begitu, di antara
banyak pengalaman yang pernah ditempuhi oleh Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul
Halim, kisah sewaktu dalam tahanan Jepun adalah antara yang paling sukar padam
dari diari hidupnya.
Mohd. Khalid yang menyertai
Rejimen Askar Melayu sebagai rekrut pada 18 Mac 1940 masih ingat, sebaik sahaja
British menyerah kalah pada 15 Februari 1942, perajurit Askar Melayu yang
terselamat dalam pertempuran telah dihimpunkan di Keppel Harbour Golf Course
sebagai tahanan perang.
Dua hari kemudian, seramai
lapan pegawai dan kira-kira 600 Askar Melayu telah diasingkan dari kumpulan
Tentera British.
Para pegawai yang berbangsa
Inggeris kemudiannya dibawa ke Berek Gillman dan Kem Tentera Changi manakala
tahanan Melayu termasuk Mohd. Khalid dipindahkan ke Ferrer Park bersama Tentera
India.
Sepanjang ditahan di situ
pelbagai peristiwa tragis yang sempat disaksikan oleh beliau. Hari-hari dalam
tawanan juga memeritkan. Adakalanya fajar yang menyingsing pada setiap pagi
mencemaskan mereka apatah lagi nyawa sentiasa ibarat telur di hujung tanduk.
``Apa tidaknya. Setiap hari ada
sahaja tahanan yang dibawa keluar oleh Tentera Jepun. Ada yang hilang, ada yang
kembali. Yang tidak kembali, kami percaya telah mati dibunuh.
``Kami percaya lambat laun akan
tiba juga giliran kami untuk dibunuh. Jadi buat apa tunggu lama-lama di situ,''
katanya.
Menurut Mohd. Khalid, peluang
untuk melepaskan diri agak terbuka luas kerana kawalan Tentera Jepun tidak
terlalu ketat. Cuma yang dibimbangkan ialah padah yang menanti jika tertangkap
iaitu hukuman mati.
Lebih-lebih lagi sikap Tentera
Jepun terhadap perajurit Askar Melayu sukar diduga. Adakalanya mereka agak
berlembut, tetapi sering juga bersikap kejam terhadap Askar Melayu.
``Misalnya, Tentera Jepun
pernah menawarkan kepada 98 anggota Askar Melayu untuk dihantar pulang ke
kampung mereka dengan syarat mereka menanggalkan pakaian seragam.
``Disebabkan enggan berbuat
demikian demi maruah Rejimen Askar Melayu, mereka akhirnya dibunuh dengan kejam
berhampiran Gap Ridge,'' katanya.
Pada 4 Mac 1942 tahanan perang
yang ada dipindahkan ke Geylang Chinese High School selama dua malam.
Suatu hari, Mohd. Khalid
melihat Tentera Jepun menghampiri Leftenan Ibrahim Sidek yang popular dengan
panggilan Ibrahim Kepak Ayam untuk dibawa keluar dari kem.
Sebelum dibawa ke kenderaan,
Mohd. Khalid sempat berjabat tangan dengan rakannya itu sambil berkata:
``Semoga berjumpa lagi dan selamat.''
Rupa-rupanya itulah pertemuan
terakhir mereka kerana selepas itu Ibrahim dan enam pegawai Melayu yang lain
telah dibunuh dengan kejam oleh Jepun berhampiran Pasir Panjang.
``Apa yang saya tahu, mereka
dibunuh dengan tembakan mesingan hanya kerana enggan menanggalkan pakaian
seragam Askar Melayu yang dipakai.
``Begitulah taat setianya
mereka kepada pasukan walaupun nyawa menjadi gantinya,'' kata beliau.
Selepas lebih 30 hari menjadi
tahanan perang, Mohd. Khalid sudah tidak tahan lagi melihat kekejaman Tentera
Jepun dan nekad untuk melarikan diri. Untuk itu beliau mengatur rancangan
bersama Hassan Din atau digelar Hassan Batak.
Hassan berkebolehan bermain
alat-alat muzik seperti piano dengan baik. Kelebihan itu digunakan oleh Hassan
untuk menarik perhatian Tentera Jepun yang berkawal pada suatu malam.
``Ketika pengawal sedang asyik
mendengar alunan piano Hassan, seorang demi seorang melarikan diri dengan
menyusup di bawah kawat berduri dan seterusnya bersembunyi di hutan
berhampiran.
``Antara yang berbuat demikian
ialah saya dan Mohd. Zain. Kami memang nekad waktu itu walaupun risikonya amat
tinggi,'' katanya.
Kemudian mereka berdua berlari
menuju ke Jalan Minto untuk bertemu Ibrahim, bapa angkat Mohd. Zain untuk
berlindung. Melalui Ibrahim, mereka mendapat maklumat mengenai pergerakan
Tentera Jepun seterusnya meminta bantuan beliau untuk mendapatkan tiket kereta
api untuk pulang ke kampung masing-masing di Perak.
Bagaimanapun, perang yang
meletus telah memusnahkan laluan kereta api sehingga menyebabkan mereka
terkandas di rumah Ibrahim. Sehinggalah pada suatu hari, kira-kira seminggu
kemudian, Ibrahim membawa akhbar The Syonan Sinbun, (berbahasa Inggeris) yang
menyiarkan pengumuman mengenai pergerakan kereta api ke utara keesokan harinya.
Pada masa itu, tambang ke
Tanjung Malim yang merupakan kampung halaman Mohd. Zain ialah RM6 manakala ke
Kuala Kangsar RM10.
``Nasib baik masa itu saya ada
menyimpan RM20 manakala Mohd. Zain RM8. Ia cukup untuk kami beli tiket,''
terang beliau.
Petang itu, mereka membeli
tiket di Stesen Kereta Api Tanjung Pagar. Turut dibeli ialah lima buku roti
untuk mengalas perut ketika perjalanan nanti.
Tepat pukul 8 malam, ketika
kereta api hampir hendak bergerak, mereka memasuki sebuah gerabak, tanpa
mengetahui ia dikhaskan untuk tali barut Jepun yang berbangsa Thai serta
tentera upahan mereka. Penumpang biasa sepatutnya hanya boleh menaiki gerabak
barang sahaja.
``Pakaian seragam Askar Melayu
yang kami pakai lebih kurang sama dengan warna pakaian mereka. Jadi mereka
ingat kami sebahagian daripada mereka.
``Nasib baik pangkat dan
lambang lain pada pakaian telah kami tanggalkan. Jika tidak, tentu Tentera
Jepun akan menangkap kami,'' katanya.
Selepas beberapa ketika berada
dalam gerabak, mereka mula resah apabila kereta api tidak juga bergerak
walaupun jam telah melewati pukul 8 malam.
Bagaimanapun, tepat pukul 10
malam mereka lega apabila kereta api mula meninggalkan Tanjung Pagar. Sebaik
tiba di Johor Bahru, Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke atas semua
penumpang. Nasib baik gerabak yang mereka naiki tidak diperiksa. Perjalanan
kereta api ke utara agak lambat kerana Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke
atas penumpang di semua stesen yang dilalui.
Malah sehingga esoknya, mereka
baru tiba di Kluang, Johor. Waktu itu, bekalan roti yang dibawa hampir habis
dan ini mula membimbangkan mereka.
Selepas empat hari bergerak,
kereta api yang dinaiki tiba di Seremban pada pukul 5 pagi. Disebabkan terlalu
lapar, mereka turun untuk membeli nasi bungkus berharga 20 sen dan minum air
paip di stesen berkenaan. Pada pukul enam petang mereka tiba di Kuala LUMPUR.
Masuk hari ketujuh barulah kereta api itu menyambung perjalanan ke utara.
Sebaik kereta api bergerak,
mereka mula merancang tindakan yang akan dilakukan apabila kereta api tiba ke
kampung masing-masing.
``Yang paling penting sekali
ialah untuk memastikan kami tidak ditangkap Tentera Jepun. Jadi keputusan kami
ialah terjun dari keretapi beberapa kilometer sebelum ia sampai ke stesen
Tanjung Malim atau Kuala Kangsar,'' katanya yang bersara dari tentera pada
tahun 1965.
Apabila menghampiri Stesen
Tanjung Malim pada pukul 8 malam, Mohd. Zain tanpa sempat bersalam dengan Mohd.
Khalid terus terjun dari kereta api dan berlari ke dalam semak berhampiran.
``Saya tidak tahu nasibnya
selepas itu kerana saya lihat Tentera Jepun banyak berkeliaran berhampiran
kawasan tersebut. Hati saya berdoa agar dia selamat,'' katanya.
Kira-kira pukul 10 malam kereta
api menghampiri pula Kuala Kangsar. Tanpa berlengah Mohd. Khalid terus terjun
dan berlari sekuat hatinya menuju ke kampungnya dalam kegelapan malam. Tiba di
rumah, beliau di sambut dengan linangan air mata oleh ibu dan ahli keluarganya.
Sepanjang berada di kampung,
Mohd. Khalid melakukan bermacam kerja untuk meneruskan kehidupan termasuk
menjadi pemandu lori untuk membawa beras milik Jepun. Di kampung juga, Mohd.
Khalid mendapat tahu sebahagian besar rakan-rakannya yang menjadi tahanan
perang telah dihantar menjadi buruh paksa di Thailand, Myanmar dan Indonesia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4cj8zCDDb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment