Ad

Tuesday, 7 March 2017

Magwe ikat Johor DT

 
HASBULLAH (dua dari kiri) dilayangkan kad merah pada minit ke-12. FOTO Johor Southern Tigers
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk meraih tiga penuh tidak kesampaian apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan kelab Myanmar, Magwe FC pada perlawanan kedua Kumpulan F Piala AFC Stadium Thuwunna Youth Training Centre, Yangon, semalam.

Skuad bimbingan Benjamin Mora terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan permainan selepas Hasbullah Abu Bakar dilayangkan kad merah kerana mengasari Lwin Kway Zin pada minit ke-12.


Bagaimanapun Magwe nyata mempamer corak permainan pantas pada awal permainan dan hampir mendahului tetapi rembatan jarak jauh Linn Kyaw Swar pada minit ke-10 berjaya diselamatkan penjaga gol Johor DT, Farizal Marlias.

Dua minit kemudian, kedudukan Johor DT bertambah sukar selepas Hasbullah dibuang padang.

Kedudukan itu nyata menyukarkan Johor DT untuk merencana strategi, sebaliknya Magwe memanfaatkan peluang dengan melakukan beberapa percubaan tepat.

Paling hampir untuk Magwe di depan adalah pada minit ke-24 tetapi tandukan kapten Aung Htoo Htoo berpunca daripada sepakan penjuru berjaya dinafikan oleh Farizal.

R Gopinathan akhirnya melegakan kem Johor DT apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menyempurnakan hantaran cantik S Chanturu pada minit ke-27.

Bersambung separuh masa kedua, Htoo Htoo sekali lagi mengancam kubu Johor DT pada minit ke-53 tetapi rembatan derasnya sedikit tersasar dari gawang gol.

Tonggak import Johor DT Brian Ferreira hampir menambah gol kedua pada minit ke-60, namun rembatan jarak jauhnya sedikit tersasar ke penjuru kanan gawang gol lawan.

Usaha Magwe untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo Sylla Sekou pada minit ke-89 selepas Farizal meluru keluar lebih awal.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 8:35 AM


No comments:

Post a Comment