Ad

Wednesday 29 March 2017

Yahya Harun - Tiga kali ditembak komunis dalam operasi


 

ARKIB : 15/03/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
YAHYA Harun bersama rakan-rakan dari Perancis, Rusia dan Indonesia semasa mengikuti rombongan melawat pangkalan Tentera Laut Thailand di wilayah Satthip.

ANAK kelahiran Pekan Nenas, Pontian ini pernah ditembak oleh pengganas komunis sebanyak tiga kali ketika menyertai Operasi Selamat Sawadee di sempadan Malaysia-Thailand sekitar tahun 1977 sehingga 1980.

Beliau yang pada ketika itu menjadi pembantu juruterbang helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bukan sahaja ditembak menggunakan mesingan tetapi pernah ditembak dengan pelancar roket.

Menurut Leftenan Kolonel Yahya Harun, 46, dalam ketiga-tiga kejadian itu, beliau terselamat dan berjaya meneruskan penerbangan ke kawasan yang lebih selamat.

Itulah antara pengalaman getir yang tidak akan dilupakan Yahya sepanjang khidmatnya demi menjamin keamanan negara.

Bagaimanapun, nasib ternyata tidak selalu menyebelahi bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian ini.

Beliau akhirnya `terkorban' apabila helikopter yang dipandunya `terhempas' setelah ditembak dalam satu operasi menyelamatkan pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) berpangkat Jeneral daripada tawanan musuh.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana peristiwa yang berlaku pada tahun 1986 di Tanjung Aru, Sabah bukan berlaku dalam keadaan sebenar tetapi sekadar lakonan sebuah filem bertajuk BAT21, yang dilakonkan oleh aktor terkenal Hollywood, Gene Hackman dan Danny Glover.

``Jika mengikut skrip sudah lama saya meninggal dunia tetapi Alhamdulillah situasi dalam filem itu tidak berlaku dalam dunia yang sebenar,'' katanya yang kini merupakan Pegawai Memerintah, 881 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang berpangkalan di Kem Mahkota, Kluang, Johor.

Menurut Yahya, pengalaman berlakon bersama Gene Hackman itu adalah secebis daripada kenangan manis sepanjang 27 tahun berkhidmat bersama TUDM.

``Saya tidak tahu bagaimana saya terpilih, tetapi apa yang saya tahu, pengarah filem tersebut mahu juruterbang helikopter terbaik,'' katanya yang sehingga kini telah mengumpul sebanyak 4,238 jam penerbangan.

Yahya memulakan perkhidmatan bersama TUDM pada tahun 1975. Selepas menamatkan kursus asas juruterbang beliau ditempatkan di 3 Skuadron yang berpangkalan di Butterworth.

Dalam pembabitan awalnya, beliau menempuh pengalaman yang mencabar berikutan ancaman komunis yang masih berleluasa.

Sepanjang tempoh itu juga beliau berpeluang menyertai operasi ketenteraan termasuk Operasi Selamat Sawadee.

Pada 1980, beliau dinaikkan pangkat Kapten helikopter Alloutte. Selepas mengikuti kursus Jurulatih Helikopter Bertauliah, beliau kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pesawat Alloutte, pada tahun 1984. Dua tahun kemudian beliau ditukar ke Kuching, Sarawak untuk menjadi Pegawai Jurulatih.

Pada 1988, beliau dilantik sebagai pemeriksa juruterbang selama lima tahun sebelum mengikuti kursus di Maktab Turus di Bangkok, Thailand pada tahun 1993.

Sebelum ditugaskan sebagai Pembantu Penasihat Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Bangkok pada tahun 1997, beliau pernah bertugas di Institut Latihan Instruktor Terbang di Pulau Pinang (1994) dan Kolej Tentera Udara di Alor Star.

Sekembali dari Bangkok pada tahun 2002 beliau ditugaskan sebagai Inspektorat General TUDM dan sejak 6 Jun tahun lalu menjadi Pegawai Memerintah 881 Skuadon PUTD.

Menceritakan penglibatannya dalam operasi Operasi Selamat Sawadee yang disifatkannya sebagai tempoh yang paling mencabar dalam kerjayanya sebagai juruterbang helikopter, Yahya berkata, pengalaman ditembak dengan pelancar roket sukar dilupakan.

Menurutnya, meskipun pada ketika itu beliau hanya bertindak sebagai pembantu juruterbang, namun cabaran dan risiko yang perlu ditanggung tidak ada banyak bezanya.

Katanya, peristiwa tersebut berlaku di satu kawasan mendarat dekat Kroh ketika beliau bersama Kapten Nor Zainal ditugaskan untuk membawa pulang anggota tentera selepas satu operasi.

``Saya telah diberi tugas oleh Nor Zainal menurunkan pesawat. Belum pun sempat helikopter mencecah tanah kedengaran bunyi tembakan dan terup meniarap mencari perlindungan.

``Saya memjerit ke arah Nor Zainal yang pada ketika itu sedang meneliti peta dan tidak menyedari tembakan itu.

``Nor Zainal terus mencampakkan peta itu dan sepantas kilat menarik Cyclic Spick mengambil alih pengemudian helikopter daripada saya dan menerbangkan semula helikopter berkenaan. Tembakan terus kedengaran dari pelbagai arah.

``Pada ketika itu juga saya terdengar bunyi pelancar roket dilepaskan dan melintasi sebelah kanan helikopter. Nasib kami baik, ia sedikit tersasar,'' katanya.

Nor Zainal kemudiannya meneruskan penerbangan dan mendarat di Teluk Intan untuk melihat keadaan helikopter.

Menurut Yahya, itu bukan pengalaman pertama kerana beliau pernah ditembak sebanyak dua kali ketika menghantar terup dan bekalan kepada anggota bertugas.

``Apa yang menarik, kebiasaannya terup medan akan memberi jaminan, keadaan sudah terkawal tetapi bila kita mendarat masa itulah kena tembak.

``Mereka meniarap mencari perlindungan, kita pula akan berlepas semula sambil mengharap tidak terkena tembakan,'' katanya lagi.

Menurut Yahya, sepanjang kerjayanya beliau juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi cemas.

Beliau masih ingat bagaimana, tingkap yang menjadi pelindung utama dilitupi oleh minyak enjin yang rosak secara tiba-tiba.

``Dalam keadaan cuaca buruk kami akhirnya berjaya membuat pendaratan kecemasan di Yong Peng,'' katanya.

Selain itu, Yahya turut mencatat pelbagai rekod seperti menjadi juruterbang pertama membuat pendaratan di garisan Khatulistiwa.

``Rekod itu dibuat di Selat Sumatera ketika dalam perjalanan mengadakan latihan bersama Tentera Indonesia pada Mei 1984,'' katanya.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cj7GIzf4

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment