ARKIB : 18/05/2001
Soal jawab bersama Mohd. Zaidi
Mohd. Zain
Perunding keluarga islam/peguam
syarie
BENARKAH seorang isteri menanggung
kesalahan dan dosa jika menolak keinginan suami untuk mengadakan hubungan
kelamin?
Apakah si isteri mempunyai
alasan untuk menolak, jika suami tidak mahu bertolak ansur walaupun si isteri
letih atau penat?
Kedua, apakah seseorang isteri
yang ingin mendapatkan kaedah pencegahan hamil atas faktor kesihatan dan juga
kebajikan anak mesti mendapat keizinan suami terlebih dahulu?
Bagaimana pula kalau si suami
enggan memberi kerjasama untuk kesejahteraan keluarga?
Kamilia
Pulau Pinang.
Jawapan:
DI DALAM sebuah rumah tangga,
isteri wajib mentaati perintah dan larangan suami selagi perintah dan larangan
tersebut tidak bertentangan dengan hukum Allah.
Sekiranya perintah dan larangan
tersebut tidak dijalankan atau dihiraukan oleh isteri, kedudukannya samalah
dengan tidak mentaati syariat Allah Taala kerana berlaku derhaka kepada suami.
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w
telah menggambarkan bagaimana tingginya kedudukan seorang suami terhadap
seorang isteri dengan sabdanya yang bermaksud, ``sekiranya aku memerintahkan
seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan perintahkan seorang
isteri bersujud kepada suami.''
Dalam persoalan yang
dikemukakan, menjadi tanggungjawab puan untuk memenuhi keperluan seksual suami
kerana ia merupakan tugas pokok dalam kehidupan perkahwinan.
Dalam sebuah hadis yang lain
Rasulullah s.a.w menyebut bahawa, ``Demi Zat yang diri Muhammad dalam
kekuasaan-Nya tidaklah seseorang perempuan menunaikan hak Tuhannya sehingga ia
menunaikan hak suaminya dan seandainya suaminya menghendaki dirinya sedang ia
di atas kenderaan, maka tidak boleh ia menolaknya.''
Begitu ketentuan yang telah
disyariatkan sebagai panduan kepada isteri menilai sejauh manakah ketaatan yang
perlu dipatuhi terhadap perintah seorang suami dalam soal hubungan kelamin.
Bagaimanapun dalam hal ini,
saya yakin puan tidak mempunyai maksud untuk menderhaka terhadap suami dengan
sengaja menolak keinginan suami untuk bersama tetapi sebaliknya puan mempunyai
sebab dan alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.
Alasan
Sekiranya alasan yang puan
berikan itu menurut syariat seperti untuk menyelamatkan nyawa atau mengelakkan
sebarang kemudaratan, maka alasan itu bolehlah diterima.
Namun demikian, dalam masa yang
sama puan hendaklah memaklumkan tentang keadaan yang sebenar kepada suami agar
suami dapat memahaminya.
Sekiranya si suami berterusan
mendesak si isteri melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan
terhadap isterinya atau zuriatnya, maka keadaan itu dikira bertentangan dengan
syariat.
Pada ketika itu, jika isteri
menolak kemahuan suami, dia tidak dikira menderhaka kepada perintah suaminya.
Mohonlah keampunan dari Allah
s.w.t pada setiap masa. Dalam soal merancang keluarga, perkara ini harus
dilakukan atas sebab-sebab yang tertentu seperti bertujuan memastikan kesihatan
ibu yang mengandung ataupun untuk menyelamatkan bayi yang baru dilahirkan dari
sebarang kemudaratan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm#ixzz4bbFhXHur
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment