Ad

Friday 10 March 2017

'Lesen terbang' didedah -- Melibatkan 100,000 lesen memandu dengan nilai suapan RM40j - BPR

ARKIB : 27/08/2000
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Badan Pencegah Rasuah (BPR) membongkar sindiket pengeluaran 'lesen terbang' dan 'lesen gerenti lulus' yang dipercayai terbesar di negara ini, melibatkan kira-kira 100,000 lesen memandu dengan nilai suapan RM40 juta.

Hasil 'Ops Melayang' yang dilancarkan sejak 24 Ogos lalu, BPR menahan 21 orang termasuk enam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang doktor yang disyaki menjalankan sindiket berkenaan.

Turut ditahan ialah pengusaha sekolah memandu dan orang tengah yang digelar runner. Tiga daripada mereka ialah wanita.

Sindiket tersebut menawarkan kepada pemohon lesen memandu itu bayaran antara RM400 hingga RM1,500 tanpa perlu mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh JPJ.

Kumpulan yang beroperasi di utara Perak itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak lima tahun lalu melibatkan pakatan antara pegawai JPJ, pengusaha sekolah memandu dan orang tengah.

Rangkaian operasi sindiket itu turut meliputi Sabah dan Sarawak.

Serentak dengan itu, BPR meminta orang ramai yang memperoleh lesen memandu secara 'pintu belakang' itu menyerahkannya kepada badan itu dalam tempoh 30 hari mulai hari ini.

Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris dalam sidang akhbarnya di sini hari ini berkata, sindiket itu mengeluarkan lesen kenderaan yang meliputi lesen ''L'' dan lesen penuh dengan mengenakan bayaran mengikut kelas kenderaan.

Katanya, siasatan BPR menunjukkan bagi mendapatkan lesen ''L'' kelas B (motosikal), calon dikenakan bayaran sekurang-kurangnya RM400, manakala bagi lesen ''L'' kelas D (kereta) RM600 dan bagi lesen ''L'' kelas E (lori) ialah antara RM800 hingga RM1,500.

Menurut beliau, calon-calon 'lesen terbang' untuk mendapatkan lesen ''L'', tidak perlu menghadiri kursus dan menduduki ujian bertulis. Bagi pemohon Lesen Pengangkutan Barang (GDL) (Goods Driving Licence) pengesahan doktor diuruskan oleh sindiket itu.

Tambahnya, melalui sindiket itu, calon yang memohon lesen ''L'' diberi sijil menghadiri ceramah daripada sekolah memandu serta sijil kelulusan ujian bertulis undang-undang daripada JPJ serta pengesahan kesihatan oleh doktor swasta.

''Selain itu slip jawapan dan borang kehadiran calon berkenaan dipalsukan di mana butiran menunjukkan seolah-olah calon hadir menduduki ujian.

''Bagi ujian praktikal pula, pegawai JPJ akan memalsukan dokumen-dokumen seperti borang penilaian ujian memandu.

Selain 'lesen terbang', Abdul Razak menambah, sindiket itu juga menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu yang dikenali sebagai 'lesen gerenti lulus'.

Kata beliau, untuk mendapatkan 'lesen gerenti lulus' itu, calon bagi lesen ''L'' yang menghadiri ujian bertulis akan diberi slip jawapan atau jawapan telah ditandakan.

''Ada kes calon sebenarnya tidak perlu menghadiri ujian dan digantikan oleh orang lain.

Mengulas mengenai 21 orang yang ditahan, Abdul Razak berkata, enam pegawai JPJ berkenaan masih berkhidmat di pejabat JPJ Taiping termasuk seorang pembantu tadbir dan seorang di pejabat JPJ Gerik.

''Pengusaha-pengusaha sekolah memandu yang ditahan ialah dari Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Ipoh, Cameron Highlands, Pantai Remis dan Parit Buntar,'' ujarnya.

Katanya, siasatan kegiatan sindiket itu dijalankan sejak 10 bulan lalu diketuai oleh Pengarah BPR Perak, Abu Kassim.

Beliau berkata, dalam Ops Melayang pihaknya telah menggerakkan 95 pegawainya dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur.

Beliau menyeru orang ramai yang memperoleh lesen berkenaan supaya menyerahkannya di pejabat BPR dan diberi tempoh 30 hari bermula hari ini bagi membantu BPR.

Katanya, BPR mempunyai senarai nama dan alamat jika mereka tidak tampil mereka akan didakwa.

''Mereka boleh dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi,'' tegasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4av7sI9BQ © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment