Ad

Monday 27 March 2017

Zakaria - Menyamar jadi komunis kesan Chan Chor

ARKIB : 25/01/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
BAGI bekas anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) ini, pengalaman menjejak komunis mungkin sukar untuk dilupakan. Apatah lagi ia merupakan tugas utamanya selepas tamat kursus asas komando pada tahun 1970.

Pelbagai cara dilakukan dalam usaha menjejak komunis atau mencari maklumat sehingga tertangkapnya pengganas itu. Adakalanya penyamaran tersebut hampir meragut nyawanya.

``Namun kerana ia melibatkan soal keselamatan adalah lebih baik ia menjadi rahsia peribadi saya,'' katanya ringkas memulakan perbualan bersama Gaya Tentera Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zakaria Yatni, 56, sebenarnya bukan nama asing dalam RGK khususnya sekitar awal 70-an.

Anak jati Kampung Seri Merlong, Rengit Batu Pahat merupakan antara anggota terawal menyertai skuadron Y RGK, selepas unit itu ditubuhkan berikutan pembubaran Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia.

Di unit itu beliau telah mengikuti pelbagai operasi membanteras komunis termasuk melibatkan nama-nama popular seperti Abdullah C.D.

Selain itu, beliau juga kerap melakukan penyamaran dalam usaha mencari maklumat mengenai kedudukan komunis.

``Kadang-kadang penyamaran bukan sahaja untuk mencari kedudukan komunis tetapi mengetahui tali barut komunis,'' katanya yang kini mengendalikan Kelab Payung Terjun Negeri Melaka.

Penyamaran dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menjadi komunis sendiri semata-mata untuk mengetahui sama ada penduduk kampung itu merupakan penyokong komunis atau pun sebaliknya.

Beliau berkata, oleh kerana terlalu kerap melakukan penyamaran, adakalanya keluarga sendiri pun tidak mengenali dirinya.

Bagaimanapun, bagi Zakaria tugas menjejak pengganas komunis yang dikenali sebagai Chan Chor sukar untuk dilupakan kerana tugas tersebut bukan sahaja hampir meragut nyawanya malah menyebabkan beliau hilang seorang rakan.

Merenung kembali usaha menjejak Chan Chor dan kumpulannya, Zakaria berkata semuanya bermula dalam satu operasi menghapuskan komunis yang dipercayai sedang bersembunyi di sebuah kem yang terletak di satu kawasan berhampiran sempadan Sarawak dengan Kalimantan Barat di Indonesia.

Pada hari pertama operasi, kumpulan Zakaria seramai enam orang terpaksa membatalkan hasrat untuk masuk ke kem tersebut.

Juru pandu yang telah dilantik enggan membawa mereka masuk kerana kekuatan pasukan yang jauh terlalu kecil berbanding kumpulan komunis.

Keesokan harinya, Zakaria bersama 30 anggota meneruskan operasi tersebut.

Mereka bertolak pukul 9 pagi dalam pergerakan penuh berhati-hati kerana kawasan tersebut dipenuhi jerangkap samar.

Bagaimanapun, dalam keadaan berhati-hati itu seorang anggota, Koperal Subki, terjatuh ke dalam jerangkap samar komunis.

Nasib ternyata masih menyebelahi Subki. Duri pokok Nibong tersebut tidak menembusi tubuh sebaliknya hanya menyebabkan kecederaan kecil sahaja.

Apabila mereka sampai di kem tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, kem itu telah kosong. Usaha menggeledah diteruskan termasuk di gua-gua yang terletak berhampiran.

Hasil penggeledahan itu, Zakaria dan kumpulannya hanya menjumpai alat-alat kelengkapan harian, doktrin komunis dan dokumen dari negara China.

Menurut Zakaria, maklumat yang diperoleh menunjukkan Chan Chor dan 40 pengikutnya telah melarikan diri ke Indonesia bersama wang berjumlah RM40,000.

``Bagaimanapun, kami percaya masih ada saki baki yang tinggal bagi memerhati kumpulan kami,'' kata Zakaria.

Andaian tersebut dikuatkan lagi oleh maklumat yang Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah berjaya menembak seorang komunis berhampiran kawasan tersebut.

Memandangkan malam kian menghampiri, kumpulan tersebut tidak meneruskan usaha menjejak saki-baki pengganas itu dan mengambil keputusan bermalam di kem tersebut.

Sebagai langkah keselamatan, mereka membentuk tiga kumpulan Ronda Kum-pulan Kecil (RKK) bagi mengawasi kawasan sekitar pada waktu malam.

Malam berlalu tanpa sebarang insiden. Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 pagi, kumpulan tersebut dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan di tepi sungai berhampiran.

Semua anggota termasuk Zakaria terus menerpa ke kawasan tersebut dan melihat Sarjan Azman terbaring.

``Beliau meninggal dunia setelah terkena dua das tembakan di dada'' kata Zakaria.

Selepas itu, Zakaria dan empat rakan lain terus memburu penembak tersebut sambil rakan-rakan lain mengurus jenazah Sarjan Azman.

Bagaimanapun usaha tersebut menemui kegagalan. Selepas meneruskan operasi itu, Zakaria dan kumpulannya kembali ke kem di bandar Sibu.

Di situ perbincangan terus dilakukan mengenai strategi memburu Chan Chor dan selang beberapa hari Zakaria bersama empat komando terus diterbangkan ke Sungai Bening, Indonesia.

Dari Sungai Bening mereka ke Sambas. Dari Sambas mereka menuju ke Singkawang dengan menaiki bas.

Ketika dalam bas, mereka menyedari pergerakan mereka telah diekori.

Sebaik turun dari bas di pekan Singkawang, mereka telah disapa oleh orang yang mengekori itu yang sebenarnya merupakan ejen perisik rahsia Indonesia.

Sebaik di sapa, ejen yang menemani kumpulan Zakaria menjawab dengan tepat. Zakaria dan kawan-kawannya selamat.

Sekiranya jawapan yang sebenarnya merupakan kod rahsia tidak sama, bahaya menanti mereka.

Di pekan itu, mereka mendapat maklumat mengesahkan komunis yang menembak Sarjan Azman merupakan konco-konco Chan Chor.

Dan melalui seorang pemberi maklumat mereka mendapat tahu kedudukan Chan Chor.

Maklumat tersebut terus disalurkan kepada markas yang kemudiannya menghantar kepada Ketua Platun Tige, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kapten Hamid yang berada berhampiran dengan kawasan yang dimaksudkan oleh pemberi maklumat.

Pertempuran berlaku dan kumpulan Chan Chor tewas.

Menurut Zakaria, meskipun tidak diketahui sama ada pertempuran tersebut telah mengorbankan Chan Chor atau pun tidak, namun beliau tetap puas hati kerana berjaya mendapatkan maklumat sehingga kumpulan tersebut berjaya ditumpaskan.

Zakaria yang telah menamatkan perkhidmatan dengan ATM 15 tahun lalu kini menghabiskan masa dengan keluarga dan cucu.

``Namun satu perkara yang saya tidak dapat tinggal adalah payung terjun. Gian,'' katanya yang akan terus melakukan penerjunan selagi mempunyai kudrat untuk melakukannya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4cWFEarp0 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment