Ad

Friday 10 March 2017

NS perlukan satu mata ke suku akhir

ARKIB : 04/09/2000
NEGERI Sembilan dianggap dalam pembikinan sebuah pasukan mantap dan paling mencabar bagi pertandingan Piala Malaysia musim ini apabila berjaya memungut sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan pada peringkat pusingan awal setakat ini.

Kejayaan pasukan negeri beradat ini mencipta kemenangan bergaya menumpaskan pasukan pelawat Kedah, 4-0 kelmarin membuktikan hakikat itu selepas menewaskan Perak 3-1 dan Johor 1-0 sebelum ini.

Pasukan yang dibarisi pemain muda dan senior ini dianggap adunan mantap di bawah jurulatih Mohd. Zaki Sheikh Ahmad yang akan berhadapan dengan pasukan Perak di gelanggang sendiri dan Kedah dan Johor di gelanggang lawan sebelum mara ke suku akhir.

Berdasarkan kepada kedudukan teratas dengan memungut sembilan mata dalam kumpulan D sekarang, Negeri Sembilan hanya memerlukan satu mata lagi untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Ini dilihat bukanlah satu tugas yang berat bagi Negeri Sembilan berdasarkan mutu permainan pasukan itu yang semakin menyerlah sekarang.

''Kemenangan besar dengan Kedah kelmarin adalah komitmen semua pemain dan bertindak cemerlang di posisi masing-masing,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu di Stadium Abdul Rahman Paroi malam kelmarin.

Bagaimanapun beliau berharap kejayaan Negeri Sembilan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini tidak akan menjejaskan konsentrasi pemain atau terlalu yakin sebaliknya, perlu membekalkan semangat yang sama bagi baki tiga perlawanan lagi.

Negeri Sembilan yang pernah bergelar pasukan Hobin Jang Hobin dilihat begitu komited dan menunjukkan permainan memberangsangkan apatah lagi dengan kehadiran penyerang sensasi, Azman Adnan untuk mencipta kemenangan membanggakan pada musim ini.

Kehadiran pemain sayap kebangsaan bawah 19 tahun, K. Rajan yang menunjukkan peningkatan ketika beraksi bertemu Kedah itu dilihat Negeri Sembilan kini mempunyai barisan penyerang yang mampu merobek pertahanan dan meledakkan jaringan bagi perlawanan seterusnya.

Keupayaan pemain lain seperti Leong Hong Seng dan Wong Sai Kong dengan membuat jaringan menerusi tendangan percuma ketika bertemu Kedah juga menjadi satu senjata berbahaya Negeri Sembilan bagi membolosi gawang lawan.

Mohd. Zaki mengakui persembahan permainan anak buahnya telah menunjukkan peningkatan perlawanan demi perlawanan dengan memberi fokus atau tumpuan sepenuhnya, di samping perancangan strategi tertentu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu memperkecilkan keupayaan pasukan lawan pada perlawanan akan datang seperti Perak yang akan bertandang ke Paroi pada Selasa ini.

''Saya menganggap Perak yang di bawah bimbingan jurulatih, Karl Weigang adalah satu pasukan yang kuat dan setiap pemain Negeri Sembilan perlu menunjukkan komitmen mereka yang tinggi,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kedah, Datuk Paduka Mohd. Basri Akil berkata, pasukan Negeri Sembilan telah menunjukkan mutu permainan yang tinggi dan mampu untuk terus membawa cabaran hebat pada pertandingan Piala Malaysia musim ini.

Katanya, pemain Kedah telah menunjukkan saingan sengit terutama di separuh masa pertama tetapi tewas dengan kecemerlangan pasukan Negeri Sembilan yang memperoleh dua gol menerusi tendangan percuma.

''Saya kini lebih menumpukan kepada pembentukan pasukan Kedah untuk musim akan datang tetapi tetap memberi saingan pada baki perlawanan akan datang kerana peluang masih terbuka,'' katanya.

Kedah yang diletakkan dalam Kumpulan D bersama Negeri Sembilan, Perak dan Johor kini hanya memungut satu bersama Johor selepas bermain tiga kali manakala Perak kini memungut 7 mata, di belakang Negeri Sembilan.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0904&pub=Utusan_Malaysi&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4ayw02l71 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment