ARKIB : 18/09/2009
KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia,
Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak berhadapan masalah besar untuk mara ke
saingan suku akhir Siri Super China Masters apabila mengetepikan pemain
England, Ouseph Rajiv 21-15, 21-8, semalam.
Kemenangan itu mendekatkan lagi
pertemuan Chong Wei dengan seteru utamanya dari China, Lin Dan yang dijangkakan
akan bertemu di separuh akhir.
Pertemuan suku akhir yang
berlangsung hari ini bakal menemukan Chong Wei dengan seorang lagi rakan
senegara Lin Dan, Du Pengyu.
Persaingan pusingan kedua semalam
menyaksikan Pengyu mudah menumbangkan pemain Denmark, Persson Joachim 21-16,
21-15.
Sementara itu, Lin Dan meneruskan
rentak kemenangan apabila menewaskan pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsin 21-15, 21-19
dan akan bertemu pemain Korea, Park Sung Hwan.
Sung Hwan melangkah ke suku akhir
setelah menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 22-20, 21-17.
Turut mengiringi Chong Wei ke
suku akhir ialah pasangan beregu negara Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah apabila
menumbangkan pemain China, Chai Biao dan Zhang Nan 21-16, 10-21, 21-9.
Selain itu, satu lagi pasangan
beregu negara, Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen turut mempersembahkan permainan
baik apabila menundukkan beregu China, Lei Weiliang dan Huang Haitao 21-6
21-16.
Pasangan Tan Fook dan Wan Wah
akan bertemu beregu China, Li Tian dan Shen Ye, setelah beregu negara republik
itu mencatat kemenangan 21-13, 21-9 ke atas rakan senegara, Li Hannan dan Li
Haonan.
Sementara itu, Teik Chai dan Bin
Shen akan bertemu beregu Korea, Cho Gun Woo dan Yoo Yeon Seong yang mencatat
kemenangan 21-8, 21-13 ke atas beregu China, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan.
Kelmarin, cabaran naib juara
Terbuka Taiwan dan Macau, Wong Choong Hann berakhir awal selepas dikejutkan
pemain muda tuan rumah, Chen Long 9-21, 17-21.
Turut tersingkir awal,
perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo yang kecundang 17-21, 11-21 di tangan
pemain China, Jiang Yanjiao.
Beregu veteran, Chan Chong
Ming-Chew Choon Eng melengkapkan hari malap Malaysia kelmarin apabila tunduk
19-21, 15-21 kepada Li Tian-Shen Ye dari China.
Kelmarin juga menyaksikan Teik
Chai turut tidak bernasib baik ketika mencuba nasib dalam acara beregu campuran
apabila gandingannya bersama Anastasia Russkikh dari Rusia tewas 15-21, 21-9,
18-21 kepada pasangan China, Zheng Bo-Tian Qing.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Ya8bUIA8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment