ARKIB : 06/10/2009
DURRAH binti Abu Lahab adalah
seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama
sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.
Abu Lahab sangat benci terhadap
Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa
binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka
kepada Nabi Muhammad.
Pernah berlaku satu peristiwa
Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi
Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.
Arwa sememangnya wanita yang
ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi
menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama
Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.
Durrah membesar dengan pelbagai
rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya
terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa
keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.
Sikap angkuhnya terbukti apabila
Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.
Abu Lahab berkata:
"Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada
hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi
menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka".
Jangkaan Abu Lahab bagi
menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah
berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta
dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah
dengan hati yang bersih.
Ketika Durrah semakin membesar
Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan
ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
"Saya percaya segala ajaran
yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut
dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat,"
kata Durrah sendirian.
Walaupun harta kekayaan bapanya
melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya
terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk
memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di
kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.
Meninjau kepada kehidupan
rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu
mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.
Suaminya terbunuh semasa perang
Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah
berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi.
Semasa di Madinah, Durrah
mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke
Madinah.
Seorang wanita daripada Bani
Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam
itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami
berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak".
Lalu Durrah menjawab: "Saya
berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata
begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang
Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya".
Durrah agak sedih lalu
meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi
Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad.
"Bertenanglah wahai
Durrah," kata Nabi Muhammad.
Selepas Nabi Muhammad selesai
mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di
tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya
diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat
daripada saya pada hari kiamat kelak".
Mendengar kata-kata Nabi
Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya
menyinggung perasaan Durrah.
Wanita Bani Zuraiq itu pun
berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas
segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya
sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia.
Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya".
Durrah menerima kata-kata wanita
Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita
kekal dan diberkati Allah".
Sejarah Islam menyatakan bahawa,
Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair
daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak
tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad.
Selain itu, dia merupakan wanita
yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang
terakhir pada tahun 20 Hijrah.
nPetikan daripada buku Bidadari
Syurga terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YaE7wkN2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment