Ad

Saturday, 1 December 2018

Mental kena sentiasa fokus

28 NOVEMBER 2018
Mental kena sentiasa fokus
Foto: FB FAM
BEKAS jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berharap skuad Harimau Malaya yang akan turun berdepan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 Sabtu ini mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang pernah dibuat sehingga menafikan hasrat pasukan untuk menjulang kejuaraan.

Beliau berkata kesilapan dilakukan pasukan bimbingannya pada edisi 2014 lalu membenarkan Thailand menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit, semuanya kerana mereka gagal mengekalkan fokus apabila perlawanan memasuki 10 minit terakhir.


“Bukan mudah berdepan Thailand walaupun bermain di laman sendiri. Jadikan apa yang berlaku pada edisi 2014 sebagai pengajaran. Kita bermain dengan baik untuk mendahului 3-0 tetapi apabila kita buat kesilapan sikit sahaja, mereka hukum dan segalanya musnah,” katanya.

“Kali ini kita tidak boleh buat silap lagi...pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus usaha dan kekal fokus selama 90 minit permainan. Singapura yang saya kira antara pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik dalam kempen kali ini juga mudah dibolosi Thailand,” tambahnya.


Malaysia berpeluang melakar nama sebagai juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua pada edisi 2014 sebelum Thailand memusnahkan impian tersebut saat akhir dalam pertemuan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada tahun berkenaan, biarpun tewas 0-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, Harimau Malaya bangkit di laman sendiri mendahului 3-0 menerusi dua jaringan Mohd Safiq Rahim diikuti gol oleh Indra Putra Mahayuddin menjadikan kedudukan agregat 3-2 memihak Malaysia.

Namun berbaki 10 minit sebelum wisel penamat, pertahanan Malaysia tampak goyah dan skuad ‘Gajah Perang’ berjaya menyumbat dua gol sekali gus mendiamkan sorakan gemuruh lebih 80,000 penyokong setia skuad kebangsaan.

Keputusan 3-2 itu menyaksikan impian mengulangi pencapaian 2010 (muncul juara buat pertama kali) terkubur selepas skuad yang dibimbing Dollah Salleh pada ketika itu tewas 3-4 berdasarkan keputusan agregat.

Sementara itu, Dollah percaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memiliki barisan penyerang terbaik untuk mencipta kejutan pada perlawanan itu, namun berharap jentera tengah mampu memainkan peranan lebih kreatif dalam melancarkan serangan.

“Bahagian serangan kita kali ini memang ada ‘umphh’. Kita ada Sumareh, Zaquan, Mat Yo, Safawi, Akhyar serta Eki (Shahrel Fikri) dan bila kita lihat balik nama-nama ini kita boleh simpulkan bahagian serangan kita memiliki kualiti yang mantap.

“Cuma di bahagian tengah berdasarkan beberapa perlawanan kita mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Apa yang saya dapat lihat kita tiada ‘penetration passing’ dilakukan pemain tengah kita,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dollah berkata, Malaysia perlu menang di Stadium Nasional Bukti Jalil dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol sebagai bekalan untuk di bawa ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua yang dijadual berlangsung pada 5 Disember.

Rekod dalam 10 pertemuan terdahulu berdepan Thailand menyaksikan Malaysia menang dua, seri dua diikuti tewas enam kali. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 28 NOVEMBER 2018

No comments:

Post a Comment