Ad

Sunday, 9 December 2018

'Piya langgar perjanjian...'

MyMetroArena
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih mengadakan perbincangan dengan pemain tengah, Badhri Radzi bagi menyelesaikan kemelut gaji yang tertunggak bersama pasukan negeri itu musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, mereka kini berusaha mencari satu jalan penyelesaian namun usaha itu seolah-olah dihalang pemain yang senang disapa Piya itu.

“Setakat ini kami masih berbincang dengan Badhri untuk mengambil pendekatan bagi menyelesaikan masalah namun dia sendiri melanggar perjanjian dengan persatuan sebagai pemain.

“Antara perjanjian yang dilanggar adalah membuat kenyataan media... dia sepatutnya tahu tanggungjawab seorang pemain yang masih mempunyai kontrak.

“Apa-apa masalah boleh diselesaikan menerusi perbincangan dan tak perlu membuat kenyataan media kerana KAFA dengan dia masih lagi berunding,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Badhri yang juga antara bekas perancang tengah Kelantan sekali lagi tampil menuntut bayaran gaji tertunggak sejak April lalu dari persatuan bola sepak negeri itu.

Bibi berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan kepada umum mengenai permasalahan yang berlaku mencetus pandangan buruk terhadap persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 11:34 AM


No comments:

Post a Comment