MyMetroArena
Mohamad Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my
"TANGGUNGJAWAB saya bayar tunggakan gaji sudah dilunaskan, kini pemain perlu tunaikan tanggungjawab anda pula," kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Illias Khan.
Beliau sebelum itu menyerahkan gaji pemain Kelantan (Liga Super) termasuk import yang tertunggak bagi Julai dan Ogos di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.
Jumlah sebenar tunggakan tidak didedahkan.
Bibi Ramjani berkata, beliau mahu pemain membuktikan kemampuan mereka dengan meraih kemenangan dalam perlawanan menentang PKNS FC, Rabu ini.
"Hari ini, saya sudah serahkan bayaran gaji kepada pemain tempatan dan import bagi Julai dan Ogos. Maka tak ada lagi tunggakan gaji.
"Jumlahnya, saya terpaksa rahsiakan tetapi gaji tertunggak Julai hanya membabitkan beberapa pemain sahaja.
"Rabu nanti saya berharap pemain dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan pastikan Kelantan menang menentang PKNS FC di Kota Bharu," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan dibuat bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa mengenai pertukaran nama TRW, Bibi Ramjani berkata, perkara itu bukan keutamaannya buat masa ini.
Katanya, misi utama sebagai Presiden baru dilantik pada 17 September lalu adalah untuk pastikan Kelantan terus bersaing dalam saingan Liga Super 2018.
"Jadi, perkara itu (tukar nama) akan difikir kemudian. Buat masa ini, kita perlu bersama berikan sokongan kepada pemain.
"Saya harap penyokong dapat hadir ke stadium Rabu ini dan berikan sokongan padu kepada pasukan," katanya.
Skuad kendalian Zahasmi Ismail akan berdepan PKNS FC dan Melaka United dalam saingan terakhir Liga Super.
Kelantan perlu mencatat dua kemenangan bagi melayakkan mereka kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 7:44 PM
No comments:
Post a Comment