Kami juga terbaik!
MyMetroArena
sukanteam@nstp.com.my
NILAI: Tiada perasaan gusar mahupun tekanan dihadapi pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba meskipun lawan separuh akhir pertama Piala AFF yang bakal ditemui Sabtu ini adalah juara bertahan serta gergasi Asia Tenggara, Thailand.
Sebaliknya, pemain berusia 21 tahun itu menegaskan skuad negara juga mempunyai mutu permainan yang baik sekali gus tidak mustahil untuk menundukkan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya tidak tertekan sebab saya percaya setiap pemain di atas padang adalah sama saja. Apa yang penting ialah kita perlu perbaiki kesilapan dan lakukan yang terbaik.
"Insya-Allah kalau ada rezeki kita boleh menang. Bagi saya kami perlu melakukan sejarah baharu.
"Jadi, kita perlu ubah (mentaliti) yang kita juga boleh mencatatkan kemenangan sebab Malaysia juga antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
"Untuk saya di bahagian tengah, kami perlu kurangkan kesilapan dan cuba menguasai bola bagi membolehkan kami mencipta lebih banyak peluang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.
Mengulas mengenai Thailand yang dilihat lebih mempamer aksi bertahan, Syamer percaya ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sudah mempunyai ramuan terbaik untuk mengatasinya.
"Saya rasa jurulatih sudah buat persediaan apa yang perlu dilakukan apabila bertemu dengan Thailand.
"Jadi apa saja yang jurulatih arahkan kami akan cuba lakukan di atas padang," katanya.
Syamer juga mengakui banyak pengalaman yang ditimba pada penampilan pertamanya di saingan Piala AFF.
"Saya perlu perbaiki prestasi permainan dalam setiap perlawanan dan harap ia dapat diteruskan pada aksi separuh akhir nanti," katanya.
sumberArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:21 PM
No comments:
Post a Comment