MyMetroArena
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri Fauzi sudah bermain dalam empat daripada enam perlawanan Piala AFF 2018 setakat ini tetapi akaun golnya dalam kempen berkenaan masih kosong.
Justeru, pemain yang pernah beraksi bersama kelab Thailand Nakhon Ratchasima itu berharap kemarau jaringannya akan berakhir ketika Malaysia bertemu Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
“Jika diberikan peluang untuk bermain di final, sudah tentu saya akan memberikan yang terbaik tetapi saya juga masih memburu gol pertama saya di pentas Piala AFF,” katanya.
Satu lagi alasan mengapa Shahrel terdesak memburu gol adalah selepas meninggalkan Nakhon Ratchasima sejurus musim 2018 berakhir, dua lagi kelab di negara berkenaan sedang memantau perkembangannya sepanjang kempen Piala AFF.
Selain berusaha memikat pencari bakat, pemain berusia 24 tahun itu yang mahu membanggakan keluarganya turut menyifatkan Harimau Malaya perlu berwaspada dengan kelibat penyerang Vietnam, Nguyen Ahn Duc yang sudah meledak tiga gol dalam kempen Piala AFF kali ini.
Selain pemain berusia 33 tahun itu, Shahrel juga mengakui Malaysia perlu mengekang gerakan seorang lagi penyerang skuad kendalian Park Hang-seo itu iaitu Nguyen Quang Hai.
“Vietnam berbahaya apabila mereka melakukan serangan diketuai oleh pemakai jersi nombor 19, Nguyen Quang Hai,” kata Shahrel.
Selepas aksi pertama di Bukit Jalil, skuad negara akan bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik kedua di Stadium Nasional My Dihn pada 15 Disember ini.
tamat
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:33 AM
No comments:
Post a Comment