Ad

Friday, 29 November 2019

Akhyar Rashid sedia tenggelamkan Filipina

SUKAN»Bola
Jumaat, 29 November 2019 | 12:33pm
 
Gambar fail, Akhyar Rashid (kanan) cuba melepasi 2 pemain Myanmar, pada perlawanan peringkat kumpulan A bola sepak Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal, Isnin lalu. - Foto Osman Adnan
Akhyar Rashid sedia tenggelamkan Filipina
Daripada Helmi Talkah di Manila
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Pemain sayap skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Akhyar Rashid mahu memanfaatkan kelebihan dimilikinya bagi membantu pasukan mencipta kemenangan ke atas Filipina dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial, malam ini.

Pemain berusia 19 tahun itu, berkata peluang menyaksikan perlawanan antara Filipina menentang Myanmar, semalam membolehkan dia dan rakan sepasukan mengkaji kelemahan dimiliki pasukan lawan itu.

“Bagi saya pertemuan dengan Filipina akan menjadi perlawanan yang sukar terutama fizikal pemain mereka lebih besar.

“Namun, apa yang saya lihat, mereka juga ada buat kesilapan dan sudah pasti kami boleh gunakan kelebihan itu untuk mencipta gol,” kata Akhyar yang memiliki kelebihan dari aspek kelincahannya mengawal bola dan larian yang pantas.

Skuad negara dan Filipina berkongsi misi yang sama menjelang aksi malam esok dengan kedua-dua pasukan memburu tiga mata pertama.

Malaysia seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan manakala Filipina terikat 1-1 dengan Kemboja. Namun, The Azkals yang turun dalam aksi kedua tewas 1-2 di tangan Myanmar, kelmarin.

Berbanding Malaysia, Filipina lebih tertekan memandangkan mereka hanya mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Sementara itu, pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan berkata dia sudah bersedia sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk berada dalam kesebelasan utama pada pertemuan dengan Filipina.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee memberikan kepercayaan kepada pemain berusia 17 tahun itu berada dalam kesebelasan utama ketika aksi menentang Myanmar sebelum dia dikeluarkan pada separuh masa kedua.

“Saya fikir jurulatih (Kim Swee) sudah mempunyai perancangannya untuk mengatasi Filipina dan sebagai pemain ikut perancangan jurulatih. Sama ada saya diturunkan atau tidak itu terpulang kepada jurulatih.

“Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia sekiranya diturunkan,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/633167/akhyar-rashid-sedia-tenggelamkan-filipina

No comments:

Post a Comment