SUKAN»Bola
Rabu, 6 November 2019 | 2:38pm
BEKAS kapten dan penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. NSTP/Rasul Azli Samad
Apek kekal bersama Melaka
Oleh Nazri Abu Bakar
Sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Bekas kapten dan penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) kekal bersama pasukan Melaka United (MU) bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li berkata, Khairul Fahmi masih memiliki kontrak sehingga 2020 justeru dia terus menjadi tunjang pasukan skuad Hang Tuah.
Katanya, pengalaman luas bekas penjaga gol Kelantan itu juga mampu memberi impak besar terhadap persiapan skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan terbabit.
“Sekurang -kurangnya tujuh pemain musim ini bakal ditawarkan kontrak dengan dua daripada mereka membabitkan pemain pertahanan Faris Shah Rosli dan penyerang, Deevan Raj sudah menerima tawaran.
“Selebihnya dalam tempoh terdekat. Namun beberapa aspek termasuk persetujuan berkaitan rundingan gaji perlu diselesaikan bersama dalam usaha menjamin kebajikan pemain,”katanya.
Sementara itu, Damian turut mengesahkan dua pemain import musim ini juga akan kekal bersama pasukan Hijau Putih sementara yang lain tiada dalam perancangan.
Apapun, nama dua import terbabit hanya akan diumumkan selepas kontrak dimeterai sedikit masa lagi.
Damian yang baru dilantik sebagai presiden MUSA, 1 November lalu juga berkata, pemain yang tiada dalam senarai kali ini juga akan dimaklumkan lebih awal bagi mengelak kesukaran untuk mereka memilih pasukan baharu.
Beliau berkata, keputusan pemilihan pemain diserahkan kepada Zainal mengikut perancangannya dalam memastikan skuad berkenaan berada dalam landasan sebenar musim 2020.
Musim ini MU yang turut dibarisi pemain berpengalaman termasuk Shukor Adan, Safiq Rahim dan Razman Roslan meraih kedudukan tangga keenam dan mara ke suku akhir Piala Malaysia.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 6 November 2019 | 2:38pm
No comments:
Post a Comment