MyMetroArena
Arena Digital
SKUAD Harimau Malaya diarah mengekalkan rentak kemenangan apabila berdepan Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Ia disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang gembira melihat aksi cemerlang barisan kendalian Tan Cheng Hoe yang meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Thailand, kelmarin.
Biarpun pada awalnya ketinggalan, namun atas semangat juang tinggi, pemain negara bangkit menerusi dua jaringan sumbangan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh.
“Perlawanan malam tadi (semalam) penting, kita perlu menang dan Harimau Malaya berjaya mencapai misi kemenangan demi negara.
Jika sebelum ini, saya kecewa dengan kekalahan di tangan Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi kali ini, saya amat berpuas hati.
“Harimau Malaya sudah mempamerkan semangat harimau sebenar meskipun masih ada kelemahan yang perlu kita baiki.
Dengan sokongan padu penyokong, Harimau Malaya ibarat memberi hadiah kemenangan buat mereka dan saya amat berharap kita akan terus berbakti kepada penyokong dan negara.
“Sekali lagi, gunakan peluang beraksi di laman sendiri menentang Indonesia nanti, buktikan sekali lagi anda pemain-pemain negara yang bagus,” katanya.
Hasil kejayaan itu, skuad negara kini menghimpun enam mata untuk berada pada tangga keempat carta Kumpulan G dan sekiranya berjaya meraih kemenangan ke atas skuad Garuda kedudukan pasukan dijangka berubah sekali gus membuka peluang mencuri tiket ke pusingan seterusnya.
Berdasarkan format kelayakan ini, juara dari setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:33 PM
No comments:
Post a Comment