Ad

Thursday 7 November 2019

Faizal gantung but kerana mata

MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad sedih terpaksa menggantung but lebih awal selepas doktor mengesahkan mata kanannya mengalami kecacatan kekal dan kabur akibat kemalangan jalan raya.
             
Pemain pertahanan tengah Melaka United yang kontraknya berakhir dengan pasukan itu pada hujung bulan ini menerima khabar itu dengan tenang biarpun tidak lagi bergelar pemain bola sepak selepas ini.

“Saya terpaksa gantung but lebih awal ketika rakan-rakan seperjuangan masih beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang saya lihat kian rancak.

“Impian mahu mengakhiri karier pada usia 35 tahun namun apakan daya pada 21 Oktober lalu pakar mata mengesahkan mata kanan mengalami kecacatan kekal kerana kabur sekali gus terpaksa melupakan sukan yang saya minati sejak di bangku sekolah rendah lagi,” ujar Faizal.

Faizal, 30, cedera serius bahagian mata dan kaki kiri akibat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 250.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Jabor, Kemaman pada pagi 26 Mei lalu.

Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Sentul Patah selepas berakhir perlawanan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan pasukannya menang 3-2.

Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu Faizal didapati hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV.

Faizal dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sebelum menjalani pembedahan.

Faizal yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda A, pasukan senior kebangsaan, Terengganu, PDRM dan T-Team mengakui sayang untuk `berpisah’ dengan sukan diminatinya itu.

“Begitu sayang kerana terpaksa bersara bukan disebabkan faktor umur kerana kudrat masih ada selain saya percaya masih ada pasukan yang menginginkan khidmat saya.

“Jika diizinkan Allah suatu hari nanti andai mata pulih seperti sedia kala, saya mungkin kembali atau menjadi jurulatih” kata Faizal pernah membantu skuad negara menjulang Piala AFF 2010 menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 4:09 PM

No comments:

Post a Comment