Ad

Wednesday, 6 November 2019

Akmal sedia tabur khidmat

MyMetroArena
 
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
BEKAS ketua jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersedia menabur khidmat dengan mana-mana pasukan bagi membimbing pasukan belia, presiden ataupun skuad senior.

Menurutnya, dia sudah menghantar permohonan kepada beberapa pasukan, namun belum menerima balasan setakat ini.

"Sejurus tamat saingan PERR bulan lalu, saya belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan atau kelab.

"Memang sedang mencari dan bersedia membimbing pasukan berminat guna khidmat saya. Dengan lesen A yang dimiliki, saya pohon jawatan penolong ketua jurulatih bagi Liga Super atau Liga Perdana. Bagi Piala Belia atau Piala Presiden pula sebagai ketua jurulatih," katanya lulus lesen A sejak Jun lalu ketika dihubungi hari ini.

Akmal, 37, berkata, antara pengalamannya termasuk menjadi penolong jurulatih Piala Belia Kedah pada 2017 selain membimbing pasukan tempatan dalam Liga Bola Sepak Kedah serta skuad bawah 17 tahun (B-17) Perlis tahun lalu.

"Selain itu saya menjadi ketua jurulatih di akademi bola sepak saya sendiri iaitu Akmal Rizal Football Academy sejak empat tahun lalu," katanya yang juga bekas penyerang Kedah dan kebangsaan.

Sementara itu, Akmal menegaskan dia sedar situasi bola sepak Malaysia yang mungkin menyaksikan banyak pasukan mengurangkan pelaburan musim depan.

"Jika diikutkan kita dapat tahu banyak pasukan yang tutup dan kurangkan bajet. Bagi saya tidak kisah soal bayaran dan boleh bincang. Bergantung kepada pasukan dan bajet yang mereka ada, Insya-Allah saya akan terima.

"Tapi, janji saya untuk turunkan segala ilmu bermain bola sepak hampir 18 tahun termasuk pengalaman bekerjasama dengan ramai jurulatih tempatan dan luar negara.

"Inilah masanya saya berikan kembali sebagai jurulatih untuk bentuk pemain bola sepak era baru terbaik," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:02 PM

No comments:

Post a Comment