Ad

Monday, 4 November 2019

Taring rimau makin tajam


MUHAMMAD AFHAM RAMLI | | 4 November 2019
 
Nor Azam (kanan) giat berlatih bersama rakan-rakan sepasukannya pada hari kedua sesi latihan Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Foto FAM

PERANCANG muda Harimau Malaya, Nor Azam Abdul Azih mengakui kehadiran dua pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail mampu menambahkan lagi kekuatan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.


Menurutnya, ia terbukti selepas apa yang dilakukan kedua-dua pemain terbabit ketika menjadi ‘enjin’ pasukan masing-masing mara ke pentas final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

“Bagi saya tekanan tetap ada dalam pasukan dan saya harap dengan kehadiran Afiq dan Baddrol dapat membantu pasukan memperoleh tiga mata.


“Kita ada dua perlawanan penting menentang Thailand dan Indonesia dan harap ia akan lebih baik berbanding sebelum ini. Kita lihat ada beberapa pemain baharu dibawa masuk dan itu akan membantu pasukan,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.


Nor Azam (tengah) menjalani sesi latihan pada hari pertama sesi latihan Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin. - Foto FAM
Nor Azam kembali memperkuat cabaran Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum ini, pemain tengah Pahang itu diketepikan ketika Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi ketiga kempen kelayakan tersebut di Hanoi bulan lalu ekoran dipalit masalah kecederaan buku lali.

Nor Azam mengalami kecederaan tersebut pada pertemuan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 1-2 pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional, Bukit Jalil September lalu.

“Saya sudah pulih daripada kecederaan buku lali dan kini sudah bersedia menggalas cabaran bersama pasukan. Buat masa ini, saya perlu meningkatkan stamina menjelang pertemuan menantang Thailand dan Indonesia nanti,” katanya.

Sebelum berdepan dua pasukan berjiran itu, Harimau Malaya dijadualkan menentang Tajikistan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/55643/BERITA/Sukan/Taring-rimau-makin-tajam
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


No comments:

Post a Comment