MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
JARINGAN kemenangan 2-1 menerusi ledakan voli Mohamadou Sumareh bukan sahaja dihadiahkan kepada skuad Harimau Malaya, malah ia turut didedikasikan kepada bapanya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sumareh atau lebih dikenali dengan panggilan Keli Boy berkata, kemenangan mengatasi Thailand dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baginya cukup bermakna kerana ini adalah perlawanan pertama yang disaksikan oleh bapanya sejak dia berkecimpung dalam dunia bola sepak.
Kata pemain sayap Pahang itu, bapanya sebelum ini melarangnya memilih karier sebagai pemain profesional namun selepas melihat dia mula mencipta nama di Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kerjaya anak kesayangannya itu.
"Hari ini (semalam) hari cukup penting bagi saya, bukan saja kerana menjaringkan gol dan dapat gembirakan penyokong tetapi ia juga untuk bapa saya yang datang melihat saya bermain kerana dia tak pernah lihat saya bermain bola sepak sebelum ini.
"Dia pernah kecewa dengan saya sebab memilih bola sepak tetapi hari ini saya dapat lihat dari renungan matanya yang dia sungguh berbangga dengan saya sekarang dan ia suatu perasaan yang cukup bermakna dalam hidup saya," katanya.
Sumareh (tengah) meraikan gol yang dijaringkan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand.
Dalam aksi keempat Kumpulan G itu, Malaysia berjaya mengekalkan rekod baik ke atas skuad Gajah Perang di laman sendiri untuk terus membuka peluang pasukan mengintai ke pusingan berikutnya.
Begitupun, Thailand yang menduduki ranking dunia lebih tinggi di tangga ke-109 membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Chanatip Songkrasin sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-26 dijaringkan Brendan Gan.
Sumareh, 25, muncul wira untuk menjaringkan gol kemenangan yang juga gol ketujuhnya secara peribadi di pentas antarabangsa sejak menyarung jersi Harimau Malaya pada Oktober tahun lalu.
Skuad negara akan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini sementara Thailand dijadual bertemu Vietnam di Hanoi.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 9:24 PM
No comments:
Post a Comment