Ad

Friday, 15 November 2019

Farizal bangga dengan Yan


MyMetroArena
 
BERNAMA
PENJAGA gol negara, Farizal Marlias berbangga dengan aksi cemerlang ditampilkan rakan sepasukan, Khairulazhan Khalid yang mengisi slot utama di gawang negara ketika Malaysia mengatasi Thailand 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Farizal, 33, sebelum ini menjadi pilihan utama ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe bagi semua tiga aksi pertama Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun dia digugurkan daripada kesebelasan utama ketika menentang skuad Gajah Perang itu Khamis lalu, selepas dibolosi lima gol ketika menang 3-2 ke atas Indonesia dan tewas dua kali masing-masing 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu dan 0-1 kepada Vietnam.

Penjaga gol nombor satu Johor Darul Ta’zim itu bagaimanapun meletakkan kemenangan ke atas Indonesia di Stadium Nasional, Selasa ini sebagai keutamaan berbanding siapa yang menjadi pilihan Cheng Hoe di posisi itu.

“Bagi saya sesiapa pun yang diberi peluang (beraksi) mereka harus jalankan tugas sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 malam tadi.

“Perlawanan menentang Indonesia satu perlawanan yang penting bagi kami dan jika menang, peluang (mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023) masih ada.

“Sama ada saya, Haziq (Haziq Nadzli atau Yan (Khairulazhan) jika diberi peluang kami harus jalankan tugas yang baik. Saya bangga dengan persembahan Yan dan kami bertiga harus bekerja keras untuk merebut posisi penjaga gol itu,” katanya.

Pada majlis anugerah itu, Farizal dinobat sebagai Penjaga Gol Terbaik 2019 sekali gus merangkul anugerah itu buat kali keempat sepanjang kariernya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 12:20 PM


No comments:

Post a Comment