SUKAN»Bola
Jumaat, 15 November 2019 | 6:35pm
PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia diantara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Jangan cepat hanyut: Jamal Nasir
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: “Jangan cepat hanyut!”
Itu pesanan legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir yang mahukan barisan pemain skuad Harimau Malaya supaya tidak terbuai dengan kemenangan bersejarah yang dilakar ke atas Thailand, sebaliknya meneruskan fokus untuk mengharungi baki kempen kelayakan yang seterusnya.
Mengakui skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu memperagakan peningkatan selepas perlawanan demi perlawanan, Jamal menegaskan mereka tetap perlu memperbaiki kelemahan yang ada jika mahu melangkah lebih jauh
“Jangan selesa sangat dengan kemenangan ini kerana harus diingat, perjalanan masih lagi jauh dan ada lagi perlawanan yang mereka perlu harungi selepas ini khususnya bertemu Indonesia minggu hadapan,” kata Jamal.
“Walaupun sudah menewaskan Thailand yang kita tahu sebuah pasukan yang hebat, jangan pandang rendah kepada Indonesia. Teruskan usaha keras dan sasar kemenangan ke atas Indonesia.
“Teruskan semangat berpasukan seperti yang ditunjukkan ketika menentang Thailand. Kemenangan ke atas Thailand diraih kerana semua pemain memainkan peranan masing masing dan tidak sekadar mengharapkan rakan sepasukan semata mata.
“Saya yakin skuad kebangsaan memang boleh pergi jauh dengan barisan pemain yang ada tetapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu mereka perbaiki.”
Terdahulu, anak buah Cheng Hoe terus menghidupkan peluang di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 apabila mengejutkan pendahulu Kumpulan G, Thailand 2-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Meskipun ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan ‘Messi Thailand’, Chanathip Songkrasin, jaringan pada setiap babak oleh Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh memastikan kemenangan buat Malaysia.
Kemenangan itu memastikan Malaysia meraih tiga mata penting dan terikat bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghimpun enam mata selepas tunduk 1-0 di tangan Raja Asia Tenggara, Vietnam.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 15 November 2019 | 6:35pm
No comments:
Post a Comment